Kanak-kanak dipercayai jadi penjual rokok seludup di Sabah

KOTA KINABALU: Masalah jualan rokok seludup di pekan Inanam di sini yang dikatakan berlarutan sejak berpuluh tahun lalu, dipercayai turut membabitkan kanak-kanak, walaupun pihak berkuasa sudah beberapa kali melakukan operasi di lokasi berhampiran pasar malam.

Kanak-kanak dipercayai berusia 12 tahun ke bawah bukan saja menjual rokok seludup, mereka turut dilihat merokok tanpa segan silu di khalayak ramai.

Tinjauan FMT di sekitar kawasan itu mendapati penjual rokok seludup berdiri di tepi jalan sambil memberikan isyarat 2 jari kepada kenderaan yang lalu lalang.

Jika ada kenderaan yang berhenti di tepi jalan, kumpulan terbabit akan berebut-rebut menjual rokok seludup yang difahamkan berharga RM3 hingga RM5 sekotak.

Seorang kanak-kanak yang dipercayai penjual rokok seludup turut dirakam merokok di khalayak ramai.
Selain tepi jalan, beberapa individu yang lebih berusia dilihat menjual rokok seludup di kaki lima kedai.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, penjual rokok haram mula beroperasi seawal 6 pagi hingga lewat malam.

“Keadaan ini sudah lama, seolah-olah tiada penyelesaiannya.

“Memang ada beberapa kali pihak berkuasa menjalankan operasi di kawasan itu sehingga mereka (penjual rokok haram) bertempiaran lari, tetapi selepas operasi selesai, mereka muncul kembali.”

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Albert berkata, kehadiran penjual rokok haram mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Pernah sekali saya memandu melalui kawasan itu, tiba-tiba seorang kanak-kanak melintas di depan kereta saya untuk menemui pelanggannya di seberang jalan.

“Mereka seperti tidak takut mati dan kebal, ada mengatakan mereka ini warga asing, tetapi ada juga mengatakan mereka ada IC (kad pengenalan).

“Saya harap pihak berkuasa menggandakan usaha memerangi penjual rokok haram ini, sekarang ini pula kebanyakan mereka adalah kanak-kanak, mungkin mereka mewarisi aktiviti penjual rokok terdahulu.”

FMT sedang cuba mendapatkan respons Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung isu ini. FMT

No.1 pasaran rokok seludup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker