“Negara, Rakyat” Atau “Emosi, Kepentingan Diri”?
Siapalah yang tidak geram jika melihat partinya diperkotak-katikkan. Siapa yang tidak kecewa melihat pemimpin partinya bagai dibuli siang dan malam. Kononnya “perkongsian kuasa”, namun tidak seindah khabar dari realiti dan maksud sebenarnya…
Tapi kita perlu faham bahawa UMNO bukan calang-calang parti. Mentadbir negara sejak merdeka, para pemimpinnya cukup terkenal dengan kematangan politik dan pentadbiran yang mementingkan kebajikan rakyat dan kepentingan negara, bukan berpolitik semata-mata.
UMNO sejak dari dulu bisa bertelingkah sesama sendiri di dalam mesyuarat-mesyuarat MT, menepuk meja, merah muka bertengkar, namun akhirnya perbincangan hangat itu sebulat suara mendokong keputusan parti. UMNO sudah lama berkonsep “syura”, cuma kita gunakan istilah Melayu saja berbanding Arab…
Namun yang penting, sebarang keputusan UMNO itu pada dasarnya tidak pernah membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Sesusah mana pun UMNO, dua agenda penting itu sentiasa menjadi keutamaannya.
Dari konteks ini, dapatlah kita faham bahawa UMNO itu tidak pernah bertindak mengikut emosi. Maksudnya, UMNO sentiasa rasional dalam pembuatan keputusannya, khususnya di peringkat tertinggi parti dan perkara itu diwarisi turun-temurun.
Mungkin kerana itulah apabila segelintir pemimpin UMNO bertindak emosi, menghasut kita agar khianat dan belot pada parti, tapi kita tidak berpihak padanya.
Sebagai contoh, bekas Presiden 22 tahun ajak kita keluar UMNO dan bersekongkol dengan DAP untuk “membunuh” UMNO. Ya, dia puas hati jatuhkan UMNO bersama DAP. Tapi akhirnya, apakah yang berlaku padanya? Bagai ditimpa “tulah”, bukan?
Dia bertindak begitu jelas berdasarkan atas emosi marahnya pada DS Najib. Hanya yang taksub dan berkepentingan saja yang “mengekornya”. Namun majoriti akar umbi begitu setia dengan UMNO, bukan? Jadi pembangkang pun tidak mengapa, asalkan kita tidak khianat pada perjuangan agama, bangsa dan negara demi emosi dan kepentingan peribadi, bukan?
Kita UMNO sentiasa berpegang pada prinsip mendahulukan rakyat dan negara.
Maka kerana itulah kita sanggup “mengalah” walau “dibuli” pihak tertentu dalam perkongsian kuasa ini. Pemimpin kita diminta bersabar dan terus bertugas walau dimaki, dibuli dan dihamburkan pelbagai rasa prejudis sebahagian rakyat pada mereka dan UMNO.
Walau dituduh “gila kuasa”, “takut hilang jawatan” dan dikritik segelintir akar umbi yang kurang mengerti erti “pengorbanan”, para pemimpin itu terpaksa bersabar dan mendiamkan diri, sengaja dibiarkan pemimpin tidak berjawatan melepaskan kritikan nakal pada pihak “pembuli”.
Malangnya, segelintir penyokong yang begitu sayangkan parti kurang memahami sifat UMNO ini. Sudahlah pemimpin UMNO “dibuli” pihak tersebut, rakyat pula prejudis terhadap mereka, lalu ditambah pula luka di hati itu dengan nista sindiran penyokong parti sendiri? Sedih lagi menyedihkan, bukan?
Bersabarlah, kerana Allah sentiasa dengan hambaNya yang sabar. Orang kata sabar itu ada batasnya. Padahal hakikat sebenar di dalam Islam, sabar itu tiada had dan batasnya. Kita berpegang pada Islam berbanding “kata orang” yang lemah asasnya, bukan?
Justeru di saat Covid-19 sedang mengancam puluhan juta rakyat Malaysia serta beratus ribu yang derita hilang pekerjaan dan pendapatan, kita sepatutnya rasional dengan mengutamakan kebajikan rakyat dan kepentingan negara secara holistik, bukannya dengan menghamburkan marah pada pimpinan parti sendiri.
Jika marah pada Perdana Menteri sekalipun, ingatlah bahawa dia adalah titah pilihan YDP Agong. Biarlah dia tanggung. Betul, salah atau silap dia, biarlah dia yang tanggung. Jika permohonan daruratnya ditolak oleh YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, biarlah dia tanggung sendiri “tamparan” DiRaja itu, bukan UMNO!
Lagipun, UMNO perlu sentiasa sedar dan menginsafi bahawa partinya adalah “pembangkang”. Tewas pada PRU14, kita bangkit sendiri sebagai pembangkang sebelum Allah berikan kembali sedikit peranan mentadbir agar rakyat Malaysia tidak terus derita, bukan?
Kita UMNO harus perbaiki diri atas beberapa kelemahan lalu. Setelah benar-benar diyakini rakyat, tak payah teruk-teruk berkempen, rakyat akan bangkit bersama dan mengangkat kita kembali sebagai Kerajaan. Rakyat sekarang sudah “celik”, kita bukan di zaman Tun M lagi, bukan?
Berlapang dada dan sabarlah buat masa sekarang. Walau bagai “melukut”, melihat kesabaran dan keikhlasan kita, Allah akan angkat kita kembali ke tempat yang sepatutnya, insha Allah.
Ingatlah bahawa Dia Maha Berkuasa, Dia berikan kuasa pada sesiapa yang Dia mahu dan jatuhkan sesiapa yang Dia mahu. Semoga kita lebih bijaksana dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan ini. Hidup UMNO!
You must be logged in to post a comment.