Macau Scam: Addy Kana dan dua polis kekal reman POCA
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan habeas corpus (penahanan salah) dikemukakan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ bersama dua anggota polis berhubung penahanan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Sehubungan itu, ketiga-ketiga mereka kekal dalam tahanan reman selama 38 hari bermula 30 Oktober lalu hingga 6 Disember ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan peguam ketiga-tiga pemohon.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Gobind Singh Deo, Shah Rizal Abdul Manan dan Jacky Loi bertindak mewakili Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai “Addy Kana” , Koperal Mohd Hairy Mohammad dan Koperal Muhammad Amin Nur Rashid Mohamed Puad.
Mahkamah Majistret pada 14 Oktober lalu, membenarkan penahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki itu berumur 34 hingga 39 tahun ditahan mengikut POCA selama 21 hari.
Reman 21 hari itu sepatutnya berakhir esok.
Bagaimanapun, pada 30 Oktober lalu, Majistret M Mageswary melanjutkan tempoh tahanan reman selama 38 hari sehingga 6 Disember ini.
Terdahulu, Sri Ram berhujah perintah tahanan reman 14 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret yang membenarkan penahanan pemohon selama 21 hari sehingga 3 Oktober ini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mal fide (berniat jahat).
“Perintah penangkapan dan penahanan adalah di luar ruang lingkup atau skop Akta Pencegahan Jenayah 1959 ini tidak terpakai kepada pemohon,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sinti yang mewakili responden iaitu Pegawai Penyiasat ASP Khairul Rairoz Rodzuan, Mahkamah Majistret, Ketua Polis Negara dan kerajaan berhujah bahawa semua keperluan prosedur untuk tahanan mengikut POCA sudah dipatuhi oleh pegawai penyiasat.
Pada 19 Oktober lalu, ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung penahanan mereka mengikut POCA.
You must be logged in to post a comment.