Keperluan mewujudkan semula akta anti berita tidak benar
Oleh Dr Kamarul Yusoff
Meneliti Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul untuk sidang Parlimen bagi sesi ini, saya tertarik dengan usul persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jerai dari PAS, Tuan Sabri bin Azit, yang berbunyi: “Bahawa Dewan Rakyat ini menggesa Kerajaan supaya mengkaji keperluan mewujudkan semula Akta Anti Berita Tidak Benar bagi menangani penularan berita palsu dan fitnah yang semakin berleluasa.
Penyebaran berita palsu mengancam keselamatan, kestabilan negara dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat majmuk. Kempen kesedaran perangi berita palsu wajar dipergiatkan agar rakyat lebih peka dan menyemak kesahihan sebelum menyebar sesuatu berita.”
Pada hemat saya, usul yang berada pada nombor ke-7 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul untuk sidang Parlimen esok sangat wajar diberi perhatian dan keutamaan memandangkan terlalu berleluasanya penularan berita palsu dan fitnah sejak mutakhir ini.
Sebagai contohnya, malam ini banyak sekali ditularkan dalam media sosial berita mengenai kononnya Perdana Menteri mengumumkan dalam satu pertemuan PN dan BN hari ini bahawa beliau akan “memberikan peruntukan kepada 91 Ahli Parlimen DAP, PKR dan AMANAH sebanyak RM3 juta (seorang) yang melibatkan peruntukan hampir RM300 juta” kononnya “sebagai timbal balas atau membalas budi persetujuan” mereka untuk “tidak menyokong usul tidak percaya yang dibawa oleh Ahli-Ahli Parlimen PEJUANG dan WARISAN”. Kononnya juga “Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membantah pengumuman itu dan keluar dari mesyuarat tetapi pemimpin PAS tidak ada kepastian”.
Membaca sepintas lalu berita ini pun kita sudah tahu ada sesuatu yang tidak betul di dalamnya kerana, berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul untuk sidang Parlimen bagi sesi ini, usul tidak percaya bukan hanya dibawa oleh Ahli-Ahli Parlimen PEJUANG dan WARISAN, tetapi turut dibawa oleh Ahli-Ahli Parlimen DAP, PKR dan AMANAH, iaitu membabitkan:
(1) Tuan Lim Lip Eng (nombor ke-29) dari DAP,
(2) Datuk Liew Chin Jin @ Christina Liew (nombor ke-35) dari PKR,
(3) Tuan Khalid bin Abd Samad (nombor ke-26), Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin (nombor ke-30), Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli (nombor ke-36), Tuan Haji Mohamad bin Sabu (nombor ke-37), Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa (nombor ke-38), Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad (nombor ke-39), Datuk Wira Haji Mohd. Anuar Mohd. Tahir (nombor ke-40), Datuk Dr. Hasan bin Bahrom (nombor ke-41), Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar (nombor ke-42), Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus (nombor ke-43) dan Datuk Seri Haji Salahuddin bin Ayub (nombor ke-44) dari AMANAH.
Menyemak dengan mereka yang hadir di dalam pertemuan PN dan BN hari ini pula membolehkan maklumat begini diperolehi:
(1) Tiada sebarang pengumuman oleh Perdana Menteri bahawa beliau akan “memberikan peruntukan kepada 91 Ahli Parlimen DAP, PKR dan AMANAH sebanyak RM3 juta (seorang) yang melibatkan peruntukan hampir RM300 juta”, sebaliknya apa yang berlaku hanyalah Perdana Menteri sekadar menyebut bahawa wujud cadangan sebegitu daripada pihak pembangkang tetapi tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya.
(2) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak keluar pun dari mesyuarat itu.
Walaupun berita ini adalah sesuatu yang tidak betul, peliknya cara berita ini dikongsi dan disebar merata-mata menunjukkan seolah-olah ia diterima sebagai sesuatu yang betul.
Oleh itu, amat bertepatan sekalilah jika usul Ahli Parlimen Jerai dari PAS supaya Kerajaan mengkaji keperluan mewujudkan semula Akta Anti Berita Tidak Benar ini diberi perhatian dan keutamaan.
https://mykmu.net/2017/12/11/dap-anti-islam-kenapa-perlu-terkejut/
You must be logged in to post a comment.