Penggodam Iran akses data pengundi AS
WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memaklumkan, penggodam Iran yang mendalangi beberapa e-mel ancaman kepada ribuan rakyat AS awal bulan ini, berjaya mengakses data pengundi.
Kenyataan bersama FBI dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, mengesahkan kesahihan video diedarkan sebagai sebahagian kempen yang mula menarik perhatian apabila didedahkan kepada umum.
Kempen yang membabitkan ribuan e-mel dihantar kepada pengundi AS secara rawak atas nama kumpulan pro-Trump, mengandungi video di mana penggodam cuba menunjukkan bagaimana mereka mampu mencetus kekecohan dengan mengakses rekod pendaftaran pengundi.
Beberapa pakar yang meneliti video itu berkata, ia lebih kepada cubaan menakutkan pengundi terhadap integriti pilihan raya pada 3 November ini, namun persoalan sama ada penggodam benar-benar berjaya menceroboh tidak diketahui sehinggalah sekarang.
Pada Jumat, CISA dan FBI mengesahkan ‘pelaku berjaya memperoleh data pendaftaran pengundi di sekurang-kurangnya satu negeri’. Negeri itu tidak dinyatakan, namun maklumat pengundi Alaska antara yang dilihat dalam video berkenaan.
FBI, CISA dan Bahagian Pilihan Raya Alaska belum memberi maklum balas ketika diminta mengulas perkara itu, namun dalam kenyataan bersama, CISA dan FBI memaklumkan penggodam Iran turut meneliti sama ada laman pilihan raya beberapa negeri turut terdedah.
Cyberscoop yang pertama melaporkan penemuan CISA dan FBI itu, menyatakan penggodam meneliti 10 negeri.
Pihak berkuasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap ancaman campur tangan siber dalam pilihan raya kali ini, yang menyaksikan pertembungan Presiden AS daripada Republikan, Donald Trump dengan wakil Demokratik, Joe Biden. – AGENSI
https://mykmu.net/2017/03/25/pegawai-fbi-didakwa-terima-rasuah-pengaruhi-doj-keluarkan-kenyataan-fitnah/
You must be logged in to post a comment.