Himpunan anti-Perancis terbesar di Bangladesh bidas Macron
DHAKA: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di ibu negara Bangladesh semalam, dalam demonstrasi anti-Perancis terbesar sejak Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mempertahankan kartun memaparkan Nabi Muhammad SAW.
Menurut polis, ketika himpunan yang dihadiri kira-kira 40,000 orang itu, penunjuk perasaan turut membakar patung Macron.
Himpunan itu dianjurkan oleh Islami Andolon Bangladesh (IAB), satu daripada parti Islam terbesar di Bangladesh dan bermula di masjid terbesar di negara itu. Kira-kira 90 peratus penduduk Bangladesh adalah beragama Islam.
Penunjuk perasaan antaranya melaungkan ‘boikot produk Perancis’.
Ketika himpunan itu, anggota kanan IAB, Ataur Rahman, dalam ucapannya di masjid Baitul Mukarram, menyifatkan Macron sebagai ‘antara pemimpin yang menyembah syaitan’.
Ataur menggesa kerajaan Bangladesh ‘menghalau’ duta Perancis manakala seorang lagi pemimpin himpunan itu, Hasan Jamal, berkata aktivis akan meruntuhkan setiap bata bangunan terbabit jika kedutaan negara itu tidak dihalau.
“Perancis adalah musuh umat Islam. Mana-mana pihak yang mewakili mereka juga adalah musuh kami,” kata pemimpin muda kumpulan itu, Nesar Uddin.
Orang Islam seluruh dunia berang dengan tindakan Macron mempertahankan hak untuk menghina agama susulan pembunuhan seorang guru Perancis yang menunjukkan kartun itu kepada muridnya.
Di Syria, penduduk membakar gambar pemimpin Perancis, bendera pula dibakar di Tripoli, Libya, manakala barangan Perancis ditarik daripada pasaran di Qatar, Kuwait dan beberapa negara Teluk lain.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membandingkan layanan terhadap orang Islam di Eropah dengan layanan terhadap orang Yahudi sebelum Perang Dunia Kedua, dan turut menggesa barangan Perancis diboikot.
Kes guru sekolah menengah, Samuel Paty, yang dipenggal oleh ekstremis Chechnya pada 16 Oktober lalu, mencetuskan kejutan di Perancis.
Paty menunjukkan beberapa kartun Nabi Muhammad SAW kepada pelajarnya, yang juga menjadi punca 12 individu dibunuh di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015. – AFP
Remaja 18 tahun disyaki pancung kepala guru tunjuk kartun nabi