‘Kaki game’ buat duit
SEAWAL jam 6 pagi sesudah Subuh dia kemudian menyelesaikan tugasan pagi seperti membasuh pakaian dan menyediakan sarapan.
Seperti wanita lain, dia akan bersiap dengan berpakaian menarik dan bersolek untuk menjaga penampilannya di tempat kerja.
Anak bongsu daripada dua beradik ini akan berada di pejabatnya sehingga jam 12 tengah hari untuk berhenti rehat dan menyediakan makan tengah hari, sebelum masuk ke ‘pejabat’nya jam 2 petang.
Kadangkala, dia akan membuat kerja lebih masa pada sebelah malam untuk menambah pendapatan.
Demikian rutin harian yang dilalui Wan Khairunnisa Wan Zainal Alang, 21, sebagai streamer permainan video di rumahnya.
Antara permainan video yang sering dimainkan adalah
PUBG Mobile, Call Of Duty dan Dota 2.
Dia yang lebih dikenali sebagai Sabrina mengakui sangat meminati permainan video sejak kecil.
“Ibu bapa tidak pernah menghalang saya bermain permainan video asalkan pelajaran tidak diabaikan. Oleh itu, dengan sedikit kelonggaran yang diberikan (ibu bapa), saya perlu bijak bahagikan masa antara minat dengan pelajaran.
“Alhamdulillah saya berjaya memperoleh keputusan Anugerah Naib Canselor ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub dalam Diploma Perbankan. Ini membuktikan apabila kita dapat seimbangkan antara pelajaran dan hobi, ia sebenarnya tidak menjadi masalah.
“Kini saya menyambung pelajaran separuh masa di UiTM Puncak Alam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pandan Indah.
Menurutnya, dia mula aktif dengan laman sosial YouTube selepas menyertai komuniti ‘gaming’ dikenali sebagai Nerd Gaming Malaysia.
“Menerusi komuniti ini, saya dan rakan lain membuat vlog berkenaan pelbagai perkara terutama berkaitan permainan video dan pertandingan sukan elektronik.
“Selain itu juga saya turut strim permainan video di YouTube selepas mendapat permintaan daripada penonton.
“Kemudian pada 2017 saya beralih ke platform Facebook milik saya sendiri sebelum ditawarkan menjadi ‘partner’ pada Julai 2019 sekali gus dapat menjana pendapatan. Bukan itu sahaja, kini saya menjadi ‘talent’ kepada jenama komputer terkenal,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya berpeluang strim pada hujung minggu sahaja kerana masih menuntut di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub dalam Diploma Perbankan.
“Apabila hujung minggu, saya akan balik dan strim di rumah. Menerusi wang yang disumbangkan penonton, saya kumpul dan laburkan untuk membeli peralatan komputer untuk meningkatkan kualiti strim supaya lebih menarik.
Menurutnya, sebagai wanita, dia mengakui berdepan pelbagai persepsi daripada masyarakat kerana pekerjaan
streamer masih baharu di negara ini.
“Di ruangan komen hampir setiap hari ada sahaja individu yang memberi komen negatif termasuk meminta saya duduk di dapur dan membasuh pakaian.
“Pada mulanya saya agak terkesan dengan komen itu tapi lama kelamaan saya lali dan sudah dapat membiasakan diri dengan mengambil pendekatan memberi penjelasan dengan baik, lebih kepada untuk mendidik,” katanya.
Katanya biarpun hanya dilihat duduk di atas kerusi bermain permainan video, ia bukanlah kerja yang mudah seperti yang disangka.
“Sambil bermain permainan video, kita perlu bijak berinteraksi dengan penonton yang bukan sahaja mahu melihat permainan video malah mahu berbual dengan kita. Kita seolah-olah menjadi penghibur kepada mereka.
“Pada masa sama, saya tidak nafikan penampilan juga perlu dijaga untuk memastikan kita serius dengan apa yang dilakukan. Bagaimanapun saya gembira dengan apa dilakukan, di samping dapat buat apa digemari, saya boleh menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Berkongsi tip kepada wanita yang ingin menceburi bidang ini, Sabrina menggalakkan mereka yang berminat berbuat demikian tidak mengambil kira tanggapan negatif segelintir pihak.
“Sekarang sudah ramai wanita terbabit termasuk yang sudah berkeluarga dengan hanya menggunakan telefon pintar, kita sudah boleh membuat penstriman.
“Untuk menyakinkan keluarga dan orang sekeliling, buktikan bahawa sebagai streamer
juga boleh menjana pendapatan untuk menyara keluarga.
“Di luar negara, ada streamer mampu dapat jutaan ringgit dan tidak mustahil kita juga mampu lakukan di sini,” katanya-HM
Meninggal dunia ketika laung azan Subuh, anak kongsi surah yang Ayah baca setiap malam
You must be logged in to post a comment.