Singapura mula import tenaga elektrik dari Malaysia akhir tahun depan
Singapura akan memulakan ujian selama 2 tahun untuk mengimport elektrik dari Semenanjung Malaysia ke republik itu, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
“Bagi memenuhi komitmen terhadap perubahan iklim, terdapat keperluan untuk mengubah cara Singapura menjana dan menggunakan tenaga.
“Memanfaatkan grid bekalan tenaga serantau bagi sumber tenaga lebih bersih adalah antara strategi untuk mempelbagaikan lagi bekalan tenaga Singapura,” menurut EMA dalam laman webnya.
Katanya, ujian itu untuk menilai dan meneliti rangka kerja teknikal dan kawal selia bagi mengimport bekalan elektrik ke Singapura.
“Ini akan membantu memudahkan import dalam skala lebih besar dari rantau ini pada masa depan,” katanya.
EMA berkata, pihaknya merancang untuk mengeluarkan Permintaan bagi Saranan (RFP) pada Mac 2021 untuk 100 megawatt (MW) import elektrik.
“Ini akan membentuk kira-kira 1.5% daripada kemuncak permintaan terhadap bekalan elektrik di Singapura,” katanya.
Di bawah RFP, EMA berkata pengimportan elektrik dijangka seawal akhir 2021, melalui penghubung elektrik sedia ada antara Singapura dan Malaysia.
Katanya pengimport akan dipilih melalui proses pemilihan yang terbuka dan berdaya saing.
Pengimport yang berpotensi perlu menunjukkan kebolehpercayaan, kredibiliti dan prestasi bekalan mereka, keupayaan untuk mendapat permintaan daripada pengguna Singapura, dan menguruskan pengeluaran karbon daripada bekalan penjanaan.
Pihak yang berminat boleh menghubungi EMA di [email protected] untuk maklumat lanjut. FMT
You must be logged in to post a comment.