Khabib bawa pulang lebih RM25 juta
LONDON: Juara lightweight dunia, Khabib Nurmagomedov dilaporkan menerima bayaran karier tertinggi sebanyak 4.6 juta pound (RM24.95 juta) selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254, semalam.
Khabib hanya memerlukan dua pusingan untuk menumbangkan lawannya secara teknikal knockout dalam pertarungan di Fight Island sebelum mengumumkan persaraannya secara mengejut.
Presiden UFC, Dana White menyifatkan Khabib kini sebagai yang terhebat sepanjang zaman di UFC.
Malah, kemenangan terbarunya itu adalah yang ke-29 di UFC sekali gus mengekalkan rekod 100 peratus.
Selain meraih RM24.95 juta daripada pertarungan berkenaan, Khabib juga mendapat bonus tambahan kemenangan bernilai hampir 70,000 pound (RM379,738).
Selain itu, dia juga akan mendapat bayaran tambahan daripada jumlah per tontonan dalam kontrak ditandatanganinya sekali gus menyaksikan jumlah yang akan diterimanya lebih tinggi.
Ini bermakna Khabib bakal membawa pulang hadiah wang kemenangan lebih tinggi berbanding diperolehnya di UFC 242 ketika menewaskan Dustin Poirier.
Jumlah itu jelas lebih banyak berbanding 1.5 juta pound (RM8.14 juta) diterimanya ketika menewaskan Conor McGregor di UFC 229, dengan lawannya dari Ireland itu sendiri meraih pendapatan lebih 2.3 juta (RM12.48 juta).
Gaethje pula dilaporkan akan membawa pulang 300,000 pound (RM1.6 juta) daripada pertarungan di Abu Dhabi itu. – Agensi-BH
You must be logged in to post a comment.