Zahid Hamidi, Presiden UMNO menjadi sasaran peluru musuh dan rakan
Perkembangan mutakhir ini, kita dapati media sosial banyak memainkan sentimen yang menyerang kepimpinan Presiden UMNO.
Jika diamati satu persatu laman sosial yang menghalakan laras senjata mereka dan menyasarkan peluru bertali arus kepada Presiden UMNO, kebanyakannya berlatar belakangkan pengikut dari pihak lawan.
Sekali fikir, ia adalah normal dan menjadi kebiasaan pihak lawan akan menyerang Presiden UMNO. Tujuannya hanya satu.
Iaitu mencipta persepsi negatif untuk merosakkan institusi presiden serta menghilangkan keyakinan ahli UMNO pada keupayaan kepimpinan presiden.
Dalam kamus perang juga, sudah tertulis untuk menundukkan musuh, maka bunuh atau tawan dulu jeneralnya.
Semakin cepat jeneral suatu pasukan itu dilemahkan, maka semakin cepat juga pasujan itu berjaya ditawan dan ditundukkan.
Justeru, jika diimbas kembali sejarah kepimpinan UMNO atau Presiden UMNO sejak zaman kepimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
Semuanya menjadi sasaran peluru musuh. Namun, jika kita selusuri perkembangan politik kini, sesuatu yang amat dangkal dari kebiasaan, melewati ceretera kepimpinan presiden UMNO era Ahmad Zahid.
Presiden UMNO bukan sahaja perlu berdepan dengan serangan musuh dari pelbagai arah tetapi dalam masa yang sama juga perlu ‘menampal kapal yang sudah berlubang’ agar ia tidak karam dan mampu bergerak menuju ke destinasi yang diharapkan.
Semuanya demi memastikan segala apa yang berada didalam kapal tersebut dapat diselamatkan.
Di sebalik segala usaha dan perjuangan untuk menyelamatkan kapal ini, entah apakah motif dan apakah tujuan, peluru turut terhambur dari pihak dalam kapal yang sama, untuk menyasarkan presiden.
Di sini timbul pelbagai persoalan. Mengapa situasi ini berlaku disaat presiden dan timnya berhempas pulas melakukan pelbagai usaha demi survival UMNO.
Adakah pihak pihak ini sudah lupa, siapa musuh UMNO sebenar? Atau situasi ini sengaja diwujudkan oleh pihak pihak tertentu dengan agenda, menebuk kapal dari dalam.
Bagaimanapun, sebagai penyokong UMNO, kami memuji sikap Presiden UMNO yang tidak mudah melatah dengan situasi yang berlaku.
Dari kami, rakyat di akar umbi, satu sahaja ingin kami berpesan kepada barisan kepimpinan yang dipertanggungjawabkan.
Atas segala apa yang berlaku, kami menyaksikan segalanya. Kami menyaksikan bagaimana kapal UMNO hampir karam, kami menyaksikan bagaimana kapal UMNO bukan sahaja berlubang ditembak oleh musuh tapi juga berlubang akibat ditebuk oleh orang dari dalam kapal yang sama.
Bukan setakat itu, kami rakyat akar umbi UMNO juga turut menyaksikan, barisan kepimpinan mana yang menampal, membaiki dan menegakkan layar kapal ini.
Tidak juga terlepas dari pandangan kami, orang-orang yang berlarian menyelamatkan diri dan meninggalkan perjuangan serta membiarkan kapal ini terumbang ambing.
Kami menyaksikan segalanya. Belajarlah kita dari sikap pihak musuh. Tidak sesekali mereka mengasak kepimpinan mereka dengan hal hal remeh temeh. Tidak juga sesekali mereka menekan kepimpinan mereka semata mata terpengaruh dengan sentimen serangan oleh peluru lawan.
Adakah sebab mereka lebih mahir dan memahami seni peperangan dalam politik? Bersama kita fikirkan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
BERSAMA kita doakan semoga perjuangan politik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipermudahkan dan dikurniakan dengan kemenangan. MG
You must be logged in to post a comment.