Konstabel polis, pereka grafik didakwa rompak berkumpulan

Seorang anggota polis berpangkat konstabel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan, minggu lalu.

Mohamad Hazani Omar, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Hazani, yang ketika kejadian masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, didakwa bersama seorang yang dituduh dan dua masih bebas, melakukan rompak berkumpulan terhadap Syaifulyazan Hassan, 57, dengan merompak dua utas gelang emas dan wang tunai berjumlah RM275 milik lelaki itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Flet Sri Melaka di Cheras, di sini, jam 1 pagi pada 13 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad, tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung ibu bapa di kampung dan dua adik masih belajar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa, selain perlu berada di rumah pada jam 11 malam hingga 6 pagi, setiap hari sehingga kes selesai.

Di mahkamah sama, rakan tertuduh, Muhammad Faizal Azmin Mohd Azman, 21, turut didakwa atas kesalahan sama, selain dua lagi kesalahan menyamar sebagai polis dan memiliki barangan polis.

Selain pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas mangsa di lokasi dan masa sama, pereka grafik itu turut dituduh dengan niat menyamar sebagai pegawai kanan polis dan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu dituduh memiliki barangan polis iaitu ‘vest’ atau rompi dengan lambang polis, sehelai baju operasi yang mempunyai lambang integriti dan pangkat inspektor, gari serta topi berlambang polis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan dan menetapkan 13 November ini untuk sebutan semula kes.
BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker