Filem Malu tayang di Jepun

KUALA LUMPUR: Sekali lagi melakar sejarah, sutradara Edmund Yeo yang pernah merangkul trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) melalui filem Aqerah pada 2017, diundang penganjur acara berprestij itu untuk menayangkan buah tangan terbarunya, Malu, di Jepun, bulan depan.

Mengisi slot tayangan perdana sempena edisi ke-33 TIFF, Yeo yang menjadi karyawan Malaysia pertama membawa pulang trofi acara anugerah dambaan ramai pembikin filem itu, terharu atas undangan dan pengiktirafan penganjur.

“Pengalaman ini cukup bermakna buat saya. TIFF sangat menyokong kerjaya saya, bermula dengan Aqerah dan disusuli dokumentari mengenai pengarah filem tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad. Kedua-dua karya itu ditayangkan di TIFF.

“Selain peluang yang diberi penganjur untuk majlis tayangan perdana filem Malu, saya sangat teruja filem ini akan menjengah beberapa panggung wayang di Jepun.

 

Poster filem Malu arahan Yeo yang akan ditayangkan di 10 pawagam di Jepun sebaik TIFF berakhir. Foto Ihsan Edmund Yeo
Poster filem Malu arahan Yeo yang akan ditayangkan di 10 pawagam di Jepun sebaik TIFF berakhir. Foto Ihsan Edmund Yeo

 

“Apa yang lebih menarik, betapa seriusnya mereka terhadap filem Malu, mereka mewujudkan laman web filem ini dalam bahasa Jepun” katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai Malu, Yeo berkata, filem itu adalah projek kerjasama dua negara.

“Produksi Jepun terbabit dalam projek ini. Separuh tenaga kerja adalah tenaga tempatan manakala sebahagian lagi adalah dari Jepun.

“Pembiayaan untuk filem ini adalah hasil perkongsian saya dengan salah seorang pelakon, MayJune Tan yang bertindak sebagai penerbit bersama.

“Selain itu, kami turut berkolaborasi dengan dua penerbit iaitu Mashiro Handa dan Hiroto Ogi serta seorang penerbit eksekutif, Yoshito Oyama.

“Yoshito adalah insan yang paling banyak membantu saya merealisasikan filem ini. Dia sebenarnya enggan dinamakan sebagai penerbit eksekutif, tetapi saya perlu memperkenalkannya. Tanpa Yoshito, filem ini tidak akan berjaya dihasilkan,” katanya.

Yeo berkata, dia sudah lama mengenali mereka sejak melanjutkan pengajian di negara matahari terbit itu, kira-kira 12 tahun lalu. Malah, katanya, saban tahun, hampir 40 peratus daripada tempoh 12 bulan dihabiskan di Jepun.

Yeo berkata, biarpun membariskan dua pelakon hebat dari Jepun, namun dia masih berdebar menantikan reaksi penonton terhadap filem berkenaan yang dikatakan menelan belanja kira-kira RM1 juta.

Namun, Yeo mengharapkan sesuatu yang positif berikutan tidak perlu menghadapi persaingan filem Hollywood yang dibatalkan tayangan akibat pandemik COVID-19.

Apa yang menarik, filem Malu yang berkisar hubungan dua beradik terpisah sejak kecil, Hong dan Lan, iaitu lakonan MayJune dan Sherlyn Seo, menjalani penggambaran sejak 2017, iaitu tahun di mana Yeo menerima pengiktirafan menerusi filem Aqerah.

Yeo berkata, dia tidak mahu terburu-buru menyiapkan Malu demi memastikan naskhah berkenaan dapat disiapkan sebaik-baiknya. Apatah lagi, proses penggambaran mengambil masa yang lama.

Bagi menyiapkan Malu, Yeo terpaksa terbang ke Jepun dua kali pada 2018 semata-mata mahu merakamkan babak musim sejuk di Hokkaido dan menanti beberapa bulan lagi untuk merakam adegan musim luruh di Yokohama. Akhirnya, Malu dapat disiapkan, tahun lalu.

“Saya menimba pengalaman yang sangat berbeza apabila bekerjasama dengan syarikat produksi dari Jepun.

“Mereka sangat teliti ketika kali pertama berbincang. Mereka membelek skrip dari satu halaman ke halaman lain dengan sangat terperinci.

“Setiap kru tidak kiralah jurusolek, props dan sebagainya tahu peranan masing-masing. Mereka bekerja dengan serius dan bersungguh-sungguh biarpun sudah tahu apa yang perlu dibuat dari awal lagi.

“Jadi, tidak hairanlah, mesyuarat pertama berlarutan dari jam 5 petang hingga 2 pagi,” katanya yang akan berada di Jepun selama tiga bulan bagi menyiapkan sebuah filem berkisar cinta bersama penerbit sama, sebalik pintu sempadan negara dibuka.

Bercerita mengenai projek itu, Yeo berkata, filem berkenaan membabitkan tenaga kerja dan pelakon dari Jepun sepenuhnya. Hanya dirinya yang bertindak sebagai pengarah manakala jurukamera juga bukan dari Malaysia.

Mengenai tayangan Malu untuk platform tempatan, Edmund berkata, dia terkilan kerana tidak dapat mempertontonkan filem itu di pawagam di Malaysia akibat COVID-19.

Namun, Yeo mahu menayangkan filem berkenaan di platform penstriman.

“Atas faktor pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya fikir platform penstriman adalah pilihan lebih selamat.

“Mungkin saya memilih platform MUBI untuk tayangan pada akhir tahun ini. Biarpun saya mahu melihat Malu dimainkan di layar lebar, tetapi, kita tiada pilihan dengan keadaan COVID-19 yang membimbangkan.

“Akhirnya, saya tidak kisah platform tayangan, asalkan penonton boleh menikmati filem Malu,” katanya.-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker