Politik negara kekal huru-hara selagi orang Melayu berpecah

Pilihan Raya Ke-15 tidak akan menyelesaikan kemelut politik negara ini jika orang Melayu masih gagal mewujudkan sebuah parti politik terbesar dan kuat seperti UMNO sebelum ini.

Polemik politik negara berlarutan sejak berakhirnya Pilihan Raya Ke-14 kerana orang Melayu berpecah, diburukkan lagi dengan wujudnya banyak parti politik Melayu.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, inilah hakikat sebenar yang berlaku dalam politik negara ini apabila tidak ada satu pun parti Melayu yang dominan.

“Dulu hanya ada UMNO dan Pas dengan satu, dua parti-parti kecil. Sekarang ada UMNO, Pas, Muafakat Nasional, Berjasa, Pejuang, Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.



“Tengok berapa banyak perpecahan yang berlaku. Ini semua disebabkan pemimpin yang rakus.

“Selagi orang Melayu tidak bersatu dari segi politik, masih tidak ada parti Melayu yang kuat atau dominan, maka keadaan yang dihadapi kita pada hari ini akan berlarutan walaupun selepas PRU15 nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Keadaan akan diburukkan jika ada lagi pemimpin-pemimpin yang hilang maruahnya sehingga sanggup ‘membeli’ dan rela ‘dibeli’ oleh parti lain.

“Saya berpandangan begitu sebab ia sudah berlaku, tidak mustahil berlaku lagi.



“Ini bukan soal integriti, ini soal maruah. Pembeli menggadaikan maruahnya untuk ‘membeli’ dan yang dibeli pun rela maruahnya dijadikan bahan pertukaran. Akibatnya rakyat menderita,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, ketahanan sesebuah parti politik itu bergantung kepada rakyat dan penyokong, selaku pengundi.

Meskipun begitu, imej, reputasi dan integriti sesebuah parti dan kumpulan pemimpin yang ditawarkan adalah faktor pilihan yang akan ditentukan oleh pengundi.

Lantaran itu, beliau berharap aspek-aspek itu dinilai dengan terperinci oleh pengundi-pengundi jika PRU15 diadakan kelak agar dapat menghentikan kemelut politik negara.



Ini kerana, rakyat sudah jelak dan muak dengan gelagat pemimpin-pemimpin politik yang rakus sehingga mengenepikan kesejahteraan rakyat yang berdepan dengan wabak Covid-19.

Kok Seong percaya, ramai rakyat yang sedih dan kecewa dengan sikap ahli-ahli politik negara pada masa ini.

“Bersatu dengan sifat manipulatifnya, UMNO pula mahu bertindak sebagai kingmaker, PKR pula dengan agenda peribadi yang tidak sudah-sudah.

“Yang veteran pun sama naik. Ini semua menunjukkan kerakusan ahli-ahli politik,” ujarnya.



Sewajarnya, tambah beliau, dalam keadaan sekarang semua pemimpin dan parti melakukan gencatan politik kerana kehidupan rakyat agak genting.

Ketika ini ribuan rakyat yang hilang arah hidup akibat tidak ada kerja, ada isteri dan anak-anak yang hilang ketua keluarga atau ramai lagi pesakit yang berada di atas katil hospital akibat Covid-19, ada pula pemimpin politik tergamak menangguk di air keruh.

Kok Seong berkata, senario politik semasa dan tindak-tanduk segelintir pemimpin ini amat menjengkelkan.

Menilai situasi semasa, beliau tidak menolak jika pemimpin ini akan dipulau habis-habisan oleh rakyat pada PRU nanti.



“Pada mata rakyat, pemimpin-pemimpin sebegini cukup rakus menyebabkan negara dalam tidak menentu, sedangkan sebagai individu yang bergelar pemimpin, kesejahteraan rakyat perlu diutamakan.

“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, survival rakyat tidak dipedulikan,” katanya. MG

Pengasingan etnik sejak kecil punca perpaduan kaum rapuh – Teo Kok Seong



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker