Lesap RM1.9 juta ditipu ‘pegawai polis’
Gara-gara percaya dengan penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, seorang pengurus agensi perbankan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM1.9 juta lesap.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 5 Mei lalu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwanya terlibat dalam kes langgar lari hingga menyebabkan kematian.
Menurutnya, mangsa yang berusia 50 tahun itu juga didakwa mempunyai rekod kes pengubahan wang haram.
“Pada masa yang sama mangsa turut menerima satu mesej waran tangkap.
“Mangsa kemudian diminta untuk membuka akaun baharu supaya wang di dalam akaun bank miliknya dapat dipindahkan ke akaun itu bertujuan untuk siasatan pihak Bank Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada keesokannya mangsa telah memindahkan semua wangnya ke dalam akaun baharu itu.
Katanya, mangsa juga diminta untuk tidak membuat sebarang semakan dengan pihak bank daripada bulan Mei hingga September bagi melancarkan siasatan pihak polis.
“Mangsa juga dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau selewatnya pada awal Oktober,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam, mangsa tidak menerima sebarang surat pengesahan seperti yang dijanjikan dan pemeriksaan di bank mendapati wang miliknya berjumlah RM1.9 juta telah dikeluarkan secara berperingkat.
Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan muslihat sindiket serta perlu dapatkan pengesahan daripada pihak polis atau institut kewangan terlebih dahulu untuk semakan.
“Diingatkan juga, jangan sesekali dedahkan nombor akaun, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali dan segera hubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 sekiranya menerima panggilan sedemikian,” katanya. Sinar
You must be logged in to post a comment.