Madiha Fuad tubuh 5 syarikat di usia 30

PERWATAKAN dan wajah cantik yang dimilikinya, tiada siapa menyangka ketika kecil wanita ini dianggap sebagai seorang ‘slow learner’ sehingga mengganggu pembelajarannya di sekolah.

Lebih menyukarkan keadaan, Madiha Fuad yang ketika itu tinggal di luar negara bersama keluarganya perlu bersaing dengan kanak-kanak lain untuk mendapat tempat yang baik di sekolah.

Bagaimanapun berkat usaha dan kegigihan ibu bapa dan dirinya, pada usia 15 tahun, dia mampu menguasai lima bahasa termasuk Bahasa Melayu, Jepun, Perancis dan Arab seterusnya berjaya hidup normal seperti remaja lain.

Pengalaman tinggal di beberapa negara termasuk Arab Saudi, Jepun, Perancis dan Jerman selama 20 tahun banyak mengajarnya menjadi seorang yang ‘kuat’ dari segi fizikal serta mental.

Kini, pada usia 30 tahun, beliau bersama beberapa rakan kongsi yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing menubuhkan lima syarikat termasuk berkaitan makanan dan minuman, fesyen, hiasan dalaman dan perisian.

Madiha berkata, apabila pulang ke Malaysia, dia menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dalam bidang kewartawanan untuk mendalami Bahasa Melayu selepas dua dekad berada di perantauan.

“Pada mulanya, saya berdepan kesukaran kerana masalah bahasa namun lama-kelamaan dapat membiasakan diri.

“Di sini saya dapat belajar menguasai Bahasa Melayu dan bersyukur berjaya menerima anugerah penuntut terbaik sebelum diterima bertugas sebagai wartawan bisnes di sebuah akhbar berbahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang empat tahun bertugas sebagai wartawan, dia bertemu dengan ramai orang dalam pelbagai cabang perniagaan sekali gus mencetus minatnya untuk terbabit dalam bidang terbabit.

“Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan, saya menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman bersama rakan-rakan kongsi yang memiliki pengalaman dalam bidang terbabit dengan membuka restoran di Subang Jaya dan kafe di pusat membeli-belah One Utama.

“Pada masa sama, saya mengikut trend pada ketika itu dengan menerima tempahan membuka trak makanan untuk majlis tertentu,” katanya.

Tambahnya, untuk menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Taylor’s.

“Pihak pengurusan universiti menawarkan biasiswa selepas mereka melihat saya memiliki latar belakang dalam bidang perniagaan.

“Pada masa sama, saya perlu buktikan sumbangan kepada universiti dengan mengadakan pelbagai program berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan usahawan. Alhamdulillah saya berjaya peroleh kepujian kelas pertama,” katanya.

Tidak berhenti di situ, apabila kemudiannya Madiha menulis tesis mengenai ‘entrepreneurship sustainability’ selepas melihat masalah dihadapi pengusaha restoran dan kafe yang hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

“Di sini saya dapat kenal pasti beberapa punca antaranya masalah kewangan, rakan kongsi dan tiada pengetahuan dalam menjaga kakitangan.

“Kemudian saya mula menubuhkan syarikat pemula dengan rakan kongsi yang mahir dalam industri manakala saya berperanan memberi idea untuk menggerakkan syarikat.

“Pada ketika ini, saya ditawarkan biasiswa oleh Universiti Taylor’s untuk membuat doktor falsafah (PhD) dengan tajuk ‘Bagaimana membentuk kemahiran mahasiswa dalam berdepan Revolusi Industri 4.0’,” katanya.

Dalam kesibukannya dengan karier dan PhD, beliau diuji dengan masalah saraf di bahu berikutan duduk terlalu lama di hadapan komputer.

“Apabila keadaan saya semakin kritikal, sehingga tidak boleh menggerakkan tangan kanan, saya mula mendapatkan rawatan. Berbulan saya tidak boleh buat apa-apa kerja dan tertekan kerana saya seorang yang tidak suka luahkan masalah kepada orang lain.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman yang dilalui itu, tercetus idea untuk menghasilkan aplikasi telefon pintar yang dinamakan ‘PlusVibes’ untuk memberi peluang kepada orang ramai luahkan masalah tanpa nama (anonymous) pada Julai lalu. HM

https://mykmu.net/2018/02/15/kerajaan-kongsi-kejayaan-bukan-kongsi-kemiskinan-najib/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker