#Covid-19 : Masa untuk rakyat jaga rakyat
oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
PENULIS cukup tertarik dengan tanda pagar #rakyatjagarakyat yang mula menjadi trending atau carian yang popular pada masa kini di laman sosial.
Difahamkan ianya muncul akibat kekecewaan rakyat yang marah dengan sikap segelintir ahli politik yang bebas melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa terutamanya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Sesungguhnya kita tidak boleh mengawal atau marah dengan luahan kekecewaan yang disuarakan oleh rakyat seperti ini yang banyak terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu hingga kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang. Luahan ini dengan jelas menterjemahkan isi hati rakyat yang tidak mampu dan tidak sanggup lagi untuk mengharungi satu lagi pusingan PKP yang kesannya pasti jauh lebih teruk lagi.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, penulis lebih berminat untuk mengupas maksud dan falsafah di sebalik tanda pagar #rakyatjagarakyat. Ironinya tanda pagar #rakyatjagarakyat ini sebenarnya sama dengan kepopularan tanda pagar #kitajagakita yang digunakan selama ini sejak tercetusnya ancaman wabak Covid-19 di negara kita. Sedar atau tidak kedua-dua tanda pagar ini sebenarnya
membawa maksud dan tafsiran yang sama iaitu tanggungjawab setiap individu dalam menjaga diri dan keluarga sendiri tanpa memindahkan beban dan tanggungjawab tersebut kepada orang lain terutamanya di atas bahu para petugas barisan hadapan.
Sesungguhnya tugas untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini adalah tanggungjawab setiap individu baik rakyat mahupun ahli politik. Hal ini kerana virus Covid-19 tidak kenal taraf kedudukan mahupun bangsa dan agama kita. Justeru bagi penulis baik tanda pagar #rakyatjagarakyat mahupun #kitajagakita sememangnya sangat signifikan dan kena pada batang hidung setiap anggota masyarakat itu sendiri terutamanya dalam memastikan kita sentiasa mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
Peningkatan secara mendadak kes jangkitan Covid-19 mutakhir ini menunjukkan kita masih belum menang dan ancaman virus ini tidak mungkin akan berakhir dalam masa terdekat. Perkara yang paling ditakuti oleh rakyat sekarang ialah apakah perkembangan terkini ini akan menyebabkan kerajaan mengisytiharkan semula pelaksanaan PKP yang kedua sama seperti fasa pertama pada 18 Mac yang lalu. Dan
percayalah secara jujurnya baik negara mahupun rakyat tidak mampu menghadapai PKP kali kedua. Walaupun kerajaan telah menegaskan tiada keperluan untuk melaksanakan PKP kali kedua di seluruh negara kerana keadaan masih terkawal sepenuhnya namun kita tidak boleh menolak kemungkinan tersebut jika kes terus meningkat dalam beberapa hari lagi terutamanya jika merebak di banyak kawasan.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat agar memastikan PKP tidak dikutakuasakan semula dengan cara sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan berpaksikan kepada tanda pagar #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita.
Baik individu mahupun ahli politik jangan ambil mudah saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebaliknya jadilah suri teladan kepada yang lain. Misalnya, jika kita seorang ketua keluarga, jadilah suri teladan kepada ahli keluarga yang lain terutamanya anak-anak agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Jika kita seorang ahli politik pula, jadilah suri teladan kepada rakyat agar kita sama-sama dapat mematuhi SOP dan membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini.
Sedar atau tidak sejak PKPP ramai yang mula alpa dan ambil mudah keperluan untuk mematuhi SOP seperti mengamalkan kesihatan awam dengan melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan. Ironinya ramai yang sudah mula lupa dengan syor KKM iaitu mengamalkan 3W dan hindari 3C. 3W yang dimaksudkan adalah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn), antaranya elakkan bersentuhan dan amalan etika batuk dan bersin. Manakala 3C pula adalah menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak berbual atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
Jadi tak kira siapapun kita marilah betul-betul menghayati dan berpegang teguh kepada kedua-dua tanda pagar #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita kerana sudah tiba masanya untuk rakyat (kita) jaga rakyat (kita) tanpa meletakkan beban itu di bahu para petugas barisan hadapan semata-mata. Ingat, kita belum menang dalam peperangan memerangi wabak ini. MG
You must be logged in to post a comment.