Empat remaja buli warga emas direman tiga hari
PASIR PUTEH – Empat remaja yang dipercayai terlibat dalam kes buli seorang wanita warga emas di Banggol Pauh, Bekelam dekat Bachok Rabu lalu direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Selasa depan terhadap keempat-empat suspek berusia 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor.
Kesemua remaja itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Terdahulu, mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini hari ini pada pukul 9.50 pagi dengan menaiki van polis.
Mereka kelihatan sugul selepas mahkamah menetapkan tahanan reman terhadap mereka.
Kelmarin, tular video berdurasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki tergamak mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas, Wan Bidah Wan Deraman, 67, sehingga dia terpaksa melarikan diri.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, dua remaja berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan ketika mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada pukul 2.30 petang manakala dua lagi berusia 15 dan 18 pada pukul 5.30 petang semalam.
Dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu yang juga merupakan anak sepupu mangsa tergamak membuli warga emas itu.
Wan Bidah mendakwa dia mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik remaja berkenaan.
Warga emas itu yang juga ibu tunggal memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam Rabu lalu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri.
Katanya, dia didatangi kira-kira enam remaja termasuk anak sepupunya yang cuba menendang dan melastiknya. -K!ONLINE
Kena lastik sampai lebam
Wan Bidah Wan Deraman berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah, sebelum didatangi sekumpulan remaja di mana salah seorangnya adalah anak sepupunya.
“Saya menjerit sekuat-kuatnya merayu agar mereka tidak melastik saya kerana bimbang mata menjadi buta…”
Biadap sangat!
Mereka bertindak biadap dengan menendang dan melastik Wan Bidah, membuatkan wanita warga emas itu berlari sambil menjerit ketakutan.
“Saya kemudian cuba memukul kumpulan lelaki itu dengan menggunakan payung sebelum terus melarikan diri. Saya sering diganggu kumpulan yang sama dan kini trauma untuk keluar bersendirian…”
Diharapkan, kumpulan remaja biadap itu mendapat hukuman yang setimpal, dan memohon maaf kepada warga emas yang telah mereka buli.
Sumber : Kosmo Online , OhMyMedia
You must be logged in to post a comment.