Pecut bawa 1,300 kg beras seludup

RANTAU PANJANG: Tindakan seorang lelaki memandu laju dengan lampu belakang tidak menyala menemukan kepada 1,300 kilogram (kg) beras bernilai RM5,200 oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).

Suspek berusia 32 tahun memandu kereta Proton Waja berwarna Silver dalam keadaan mencurigakan pada jam 10 malam kelmarin sebelum ditahan pihak berkuasa di Kampung Padang Licin, di sini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota, pihaknya membuat pemeriksaan dan menemui 52 kampit beras cap Mangga di bahagian depan dan belakang penumpang selain terdapat juga di bonet kereta.

“Suspek yang bekerja sebagai penternak ikan air tawar mengakui menyeludup beras dari pangkalan haram untuk di hantar kepada pembeli sekitar Pasir Puteh, selain pernah melakukan aktiviti ini beberapa kali mengikut pesanan yang diterima.

“Dia menjalankan kegiatan menyeludup beras pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menggunakan kenderaan dengan cermin gelap untuk mengisi penuh beras terbabit dalam kenderaan.

“Anggota merampas kenderaan serta kesemua beras termasuk menahan suspek untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang, bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

 

Beras yang dipercayai diseludup dari Thailand dirampas anggota PGA7 malam kelmarin. - Foto ihsan PGA
Beras yang dipercayai diseludup dari Thailand dirampas anggota PGA7 malam kelmarin. – Foto ihsan PGA

 

Azhari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM25,000 dan barangan dirampas.

Katanya, PGA7 komited bertugas di Ops Benteng COVID-19 sempadan negara bukan sahaja bagi mengekang jenayah rentas sempadan, malah menjaga keselamatan negara daripada penularan wabak penyakit.

“Memandangkan negara kembali dibelenggu dengan masalah peningkatan jumlah mangsa COVID-19, PGA7 bersedia memastikan tiada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mungkin membawa kepada wabak berkenaan.

“Kerjasama semua pihak turut diperlukan bagi membantu melancarkan kawalan sempadan negara terutama di sepanjang Sungai Golok, di sini,” katanya.-BH

Seorang anggota PGA7 nyaris maut diseret kenderaan penyeludup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker