Pegawai bank dicekup tunjuk jari tengah pada polis
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank ditahan gara-gara menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ketika kenderaan dinaikinya diperiksa dalam sekatan jalan raya di Persiaran Tropicana, Kota Damansara, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam penugasan kira-kira pukul 11.30 malam itu, pihaknya menahan sebuah kenderaan e-panggilan yang dinaiki oleh suspek berusia 39 tahun untuk pemeriksaan.
“Semasa menjalankan pemeriksaan, suspek menunjukkan isyarat lucah (jari tengah) dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas serta tidak memberikan kerjasama.
“Suspek juga bertindak agresif, dan ia memaksa polis melakukan tindakan kekerasan yang minima semasa melaksanakan tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan reman 3 hari dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas.
You must be logged in to post a comment.