Kedah tidak berhasrat sambung tempoh TEMCO di Kota Setar
Kerajaan negeri Kedah tidak berhasrat untuk mengemukakan syor atau cadangan bagi memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kota Setar yang akan berakhir 25 September ini.
Ianya susulan perlaksanaan perintah terbabit memberikan satu “tempoh sukar” kepada penduduk terlibat selain petugas barisan hadapan yang terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko termasuk penularan wabak COVID-19 itu sendiri.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, sebarang keputusan hanya akan dibuat setelah pelaksanaan ujian saringan kedua selesai dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beberapa hari lagi.
Tambahnya, setakat ini tiada perbincangan diadakan pihak kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah berhubung perkara berkenaan dan ia akan dilaksanakan sebaik sahaja menerima keputusan penuh daripada saringan kedua yang dijalankan oleh penduduk.
“Sekiranya didapati ada penambahan (kes), dan selama kita tidak ada vaksin untuk tangani COVID-19, TEMCO adalah langkah terbaik untuk membendung penularan, (sebab) tak ada ubat lagi… ubat (paling berkesan ketika ini adalah) dia (penduduk) amalkan SOP.
“Selain dari bersimpati kepada orang kampung yang terlibat, saya sangat bersimpati kepada agensi yang terbabit, harap (TEMCO di daerah) Kota Setar ini cukup lah dua minggu tu, (perbincangan menegenai lanjutan tempoh) belum dibincangkan, (ia susulan apabila) sampai hari ke-13 dia akan ada ujian ‘swab’ kedua, keputusan kedua itu akan menentukan (sama ada cadangan TEMCO disambung atau tidak),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah, Jitra pada Ahad.
Terdahulu,kerajaan telah mewartakan pelaksanaan TEMCO di daerah Kota Setar, Kedah ekoran peningkatan kes membabitkan Kluster Sungai dan Telaga di lokasi berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan dikuatkuasakan mulai 11 September pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020 sebagai sebahagian dari langkah pencegahan penularan COVID-19. Awani
You must be logged in to post a comment.