Slogan Ubah Balik Jadi Mantera Kempen BN
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yakin undi anak muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bakal mengubah landskap politik Sabah kepada wajah baharu menerusi slogan “Ubah Balik” yang menjadi mantera siulan kempen BN.
Menurutnya, beliau menyaksikan sendiri anak-anak muda begitu bersemangat dalam proses untuk “Ubah Balik” sepanjang kunjungannya dalam kempen PRN dari Kudat sehinggalah ke Tawau kerana berasa terkilan dan tertipu dengan pemerintahan kerajaan 26 bulan Warisan Plus.
Katanya, pemilihan 45% calon muda termasuk 4 calon Pemuda UMNO yang ditampilkan dalam PRN kali juga membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) mendengar aspirasi golongan muda yang bakal membawa suara lantang mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Paling penting, katanya, kawasan-kawasan yang diberikan kepada calon-calon muda untuk bertanding merupakan kawasan boleh menang dan bukannya “kawasan kemalangan” iaitu kawasan tidak boleh menang.
“Contohnya, DUN Tg Batu saya yakin kita (BN) boleh menang kerana ini kawasan yang kita menang dulu (PRU14) dan kini diletakkan pula calon Pemuda yang berwibawa, berpendidikan, orang tempatan dan memiliki karisma tersendiri dan beliau juga merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia.
“Kalau diberi peluang, beliau bukan sahaja boleh menyuarakan suara hati rakyat Tanjung Batu tetapi juga membawa agenda orang muda Sabah. Kita nak (hendak) saksikan supaya wajah-wajah baharu yang kita tampilkan ini penuh integriti dan amanah bekerja sebaik mungkin untuk rakyat,” katanya lagi.
Dr. Asyraf berkata demikian kepada media selepas berucap pada Majlis Bersama Calon N71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy di Dewan Terbuka Pentas KK Hamid Hassan.
Dalam pada itu, beliau melihat Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancar Perdana Menteri pada 16 September lalu sebagai yang terbaik untuk rakyat demi mengembalikan semula apa yang dihentikan kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 22 mentadbir urus negara.
“Apa yang kita tawarkan kepada rakyat adalah perkara yang disenangi rakyat di semua peringkat tanpa mengira latar belakang dan kaum. Kerajaan BN dulu menyantuni semua selepas kita mengubah prinsip dan pendekatan.
“Jika dahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) melihat kepada kaum dan bangsa tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini, BN mengubah pendekatan kepada B40 yang tidak lagi melihat kepada kaum tetapi membantu semua golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Inilah yang dikehendaki rakyat tanpa kita meremehkan asas-asas yang disepakati samada di peringkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mahupun Perlembagaan Persekutuan yang kita semua harus hormati demi mewujudkan masyarakat yang kembali gemilang dan cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Asyraf menafikan kenyataan pihak lawan kononnya BN tidak berbuat apa-apa untuk membela nasib rakyat Sabah, sebaliknya, merekalah yang menghentikan projek-projek yang membawa kesan gandaan ekonomi besar buat Sabah, misalnya, Projek Pan Borneo Highway.
Katanya, projek tersebut merupakan salah satu sumbangan BN dalam membawa transformasi radikal untuk kesejahteraan rakyat Sabah dari segi sosial dan ekonomi tetapi tidak diteruskan Warisan sehingga mengecewakan ramai rakyat yang terpedaya slogan Sabah Ubah mereka. BN