Bung menarik sokongan untuk BN hingga ke pedalaman
Ketua Pilihan Raya Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin, berkunjung ke 4 kawasan DUN untuk menarik sokongan bagi gabungannya.
Dengan kerusi di sebelah pantai barat Sabah menjadi rebutan ramai, dan banyak kawasan di pantai timur dilihat sebagai kubu Warisan Plus, Bung pergi ke seberapa banyak kawasan yang mampu di Bongawan, Kemabong, Sook, dan Tulid.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu, yang akan bertanding di DUN Lamag bawah Parlimennya, menaiki helikopter ke kawasan terpencil, bermula 8.30 pagi di Bongawan, kerusi BN cuba rebut daripada Warisan.
Bung menyampaikan ucapan ringkas, berkesan, dan tepat sebelum bergegas ke helikopter menunggu untuk terbang ke lokasi seterusnya.
Beliau mengembeleng penyokong untuk mengundi calon BN di kawasan masing-masing untuk cuba menyekat peluang Warisan Plus kembali sebagai kerajaan negeri, sebelum menyelesaikan atur caranya sekitar 7 malam.
wakil media terpilih mengiringi Bung ketika beliau terbang ke lokasi berjarak jauh merentasi 3 kawasan Parlimen.
Di Bongawan, bekas pegawai daerah Awang Syairin Awang Bakar cuba merebut kerusi itu untuk BN menentang Daud Yusof dari Warisan, yang menang pada pilihan raya umum (PRU14) selepas menewaskan Mohamad Alamin, ahli Parlimen Kimanis.
Di Kemabong, yang terletak bawah Parlimen Tenom, dimenangi BN melalui Jamawi Jaafar, yang berhijrah ke Warisan tetapi kembali ke BN sebelum pembubaran DUN 30 Julai lalu.
Bekas ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi, bertanding di Kemabong, yang terletak dalam nusa teras orang Murut.
Beliau berdepan 5 yang lain, termasuk Lucas Umbul dari Upko, parti komponen Warisan Plus, dan bekas Adun Umno, Rubin Balang, tokoh berpengaruh yang bertanding sebagai calon Bebas.
Walaupun persaingan di Bongawan dan Kemabong adalah pertembungan BN dengan Warisan dan lain-lain, lain pula halnya di DUN Tulid dan Sook, di mana gabungan itu akan berdepan sekutu sendiri seperti PBS dan STAR dari Perikatan Nasional.
Di Sook, yang terletak bawah Parlimen Pensiangan, Bonepes Been (BN) tersepit dalam pertembungan 5 penjuru, termasuk penyandang Ellron Angin (STAR), sementara rakan separti, Matusin Bowie, akan menentang Yumanambun (PBS) dan Flovia Ng (STAR), selain Mudi Dubing (Warisan), dalam pertembungan 7 sisi di Tulid.
Ellron memenangi kerusi atas tiket PBRS, yang merupakan komponen BN, pada PRU14. Beliau menyertai STAR pada Disember 2018.
Sementara itu, penduduk Kemabing, Juanis Tingkalu, 36, mahu BN mengambil semula semua kerusi.
“Jamawi beralih kepada Warisan sebelum ini tetapi beliau sekarang kembali bersama kita, jadi itu ‘okey’. Saya tidak nampak sebarang kemajuan di Kemabong dalam tempoh 26 bulan bawah pemerintahan Warisan.
“Apa yang kita perlukan kebanyakannya prasarana asas seperti air bersih, jalan raya, dan kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Seeorang lagi penduduk, bagaimanapun, berkata BN dapat berdepan rintangan kerana Warisan membuat kerja yang bagus, terutama dalam mengagihkan geran tanah pribumi kepada penduduk kampung.
“Isu geran tanah ini menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM). Apabila Warisan beri geran kepada orang di Nabawan, ia akan beri kelebihan kepada parti itu dari segi undi di kerusi pedalaman,” kata penduduk Sook itu.
Penduduk lain juga berkata “faktor calon” lebih penting di kerusi pedalaman, manakala parti yang mereka wakili jadi perkara yang ke-2 penting.
Seorang penduduk berkata pengundi mungkin tidak akan menyokong seorang calon yang bukan berasal dari kawasan itu.
“Sebagai contoh, di Sook, semua calon berasal dari sana dan terserah kepada mereka untuk meyakinkan orang bahawa mereka boleh selesaikan masalah mereka,” katanya.
Bung dijangka melawat kawasan KDM di Ranau dan Kudat esok. FMT
You must be logged in to post a comment.