15 bayi lahir pada Hari Malaysia
PUTRAJAYA – Seorang penjawat awam berbangga apabila bayi sulungnya digelar ‘anak Hari Malaysia’ apabila dilahirkan pada hari ulang tahun sambutan pembentukan Malaysia bersama 14 lagi bayi lain di Hospital Putrajaya hari ini.
Amelia Abdul Rahim, 29, berkata, anak lelakinya seberat 3.2 kilogram (kg) itu dilahirkan pada jam 9 pagi tadi iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh jangkaan kelahiran.
“Saya rasa sangat teruja sebab anak sulung saya dilahirkan pada sambutan Hari Malaysia hari ini dan apa yang istimewa sambutan hari jadinya selepas ini akan sentiasa meriah kerana disambut serentak dengan Hari Malaysia.
“Diharap dengan keberkatan tarikh ini, anak saya akan membesar jadi seseorang yang berbudi kepada bangsa dan negara,” katanya ketika menerima kunjungan Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said di sini petang tadi.
Amelia yang berkhidmat sebagai setiausaha di Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Cyberjaya berkata, dia dan suaminya yang juga seorang chef di sebuah syarikat pelantar minyak, Khairul Azhar Khamis, 35, sepakat untuk menamakan bayi mereka Khalis Zikri.
Berkongsi kegembiraan sama, Norhayati Baharudin, 30, dari Seri Kembangan berkata, gelaran ‘anak Hari Malaysia’ itu akan dibawa anak ketiganya yang dilahirkan seberat 3.4 kg pada jam 7.20 pagi itu selagi hayat dikandung badan.
“Saya rasa sangat bertuah anak lelaki saya lahir pada tarikh penuh keramat pada hari ini. Saya sebenarnya tak jangka akan bersalin hari ini.
“Memang pada awalnya saya dijangka bersalin hari ini tapi sebab hari-hari sebelum ini tidak ada tanda-tanda saya akan bersalin jadi doktor anjak jangkaan bersalin pada 22 September,” katanya yang juga suri rumah.
Doktor dan jururawat bergambar bersama bayi ‘anak Hari Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Wad Bersalin Hospital Putrajaya hari ini.
Katanya, dia dan suami yang juga seorang jurutera, Muhammad Fadzlan Zahrudin, 33, bercadang untuk memberi nama bayi mereka Muhammad Fahim.
Dalam pada itu, Norashikin Ahmad, 32, dari Presint 5, Putrajaya berkata, kelahiran anak keduanya pada jam 6.18 pagi tadi merealisasikan hajat suaminya yang juga penjawat awam untuk memiliki ‘anak Hari Malaysia’.
Menurutnya yang berkhidmat sebagai setiausaha pejabat di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), suaminya sangat teruja dan tidak sabar menanti kelahiran bayi perempuan mereka sebaik doktor memberi tarikh jangkaanya bersalin pada 16 September.
“Akhirnya lepas alami sakit perut hampir sembilan jam, saya akhirnya selamat bersalin bayi seberat 3.02 kg pada jam 6.18 pagi tadi. Anak kedua ini akan dinamakan Aireen Zulaikha Muhammad Zuhir Auzuddin,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Nora’i berkata, kesemua ‘bayi Hari Malaysia’ itu dilahirkan di hospital itu antara jam 4.36 pagi hingga 5.26 petang hari ini terdiri daripada 10 bayi lelaki dan lima perempuan.
Katanya, kelahiran yang direkodkan pada tarikh sama pada tahun lalu adalah seramai 14 bayi, 18 bayi pada 2018 dan paling ramai pada 2017 iaitu seramai 25 bayi.
“Sejak pandemik koranavirus (Covid-19) menular, kita turut lakukan ujian saringan kepada ibu-ibu yang datang ke hospital untuk bersalin. Walaupun prosedurnya ketat tetapi prosesnya lancar,” katanya.
You must be logged in to post a comment.