Pengalaman ‘keluarga berantakan’ buat Azwan faham kemelut balu Abam Bocey
Tersentuh dengan masalah dalaman keluarga membabitkan Nor Hidayah Mohd Ali dengan adik iparnya, Ali Puteh, personaliti yang selalu mencetuskan kontroversi, Azwan Ali, menyatakan hasrat untuk menemui balu pelawak Allahyarham Abam Bocey itu.
Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA itu berkata, dia memahami situasi dialami ibu tunggal anak satu itu kerana keluarganya sendiri berantakan sehingga kini.
Katanya dia amat tersentuh dengan apa yang berlaku pada keluarga mereka.
“Keluarga saya pun berantakan sampai hari ini, jadi apa berlaku pada keluarga arwah, saya rasa – oh my god (oh tuhanku),” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut pemilik nama penuh Mohamed Azwan Ali itu, ada pengajaran boleh diambil oleh orang ramai daripada situasi yang menimpa mereka berdua.
“Kepada pembaca, kutip iktibar daripada kisah kedua-dua keluarga ni. Masalah sebeginilah yang sering terjadi dalam kalangan segelintir orang Melayu,” katanya.
Nak minta maaf sebab terkecam
Azwan, 54, yang popular dengan ungkapan antaranya “see my level” dan “ada aku kisah” itu berkata, dia berhasrat untuk menemui Nor Hidayah di lokasi balu terbabit menjual cempedak dan durian goreng.
Terdahulu, melalui Twitter, adik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali itu berkata, dia ingin bertemu Nor Hidayah tetapi tidak mengetahui secara terperinci kedudukan lokasi gerai bekas akauntan itu.
“Siapa boleh hantar lokasi tempat Hidayah jual cempedak goreng? WhatsApp ke 012-2896100, Diva AA teringin nak terjah Hidayah dan anak arwah Abam,” ciapnya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas pada 10 Februari lalu. Ketika itu Abam berusia 32 tahun.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Nor Hidayah pada 8 Dis 2017 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun dua bulan.
Semalam, Nor Hidayah berkata dia berpuas hati dengan keputusan tuntutan faraid ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam merangkumi hak pemilikan rumah, kereta, wang tunai dan barang peribadi peninggalan arwah suaminya.
Ali juga memberi respons positif dengan menganggap keputusan tersebut adalah yang sebaik-baiknya.
Azwan juga mengaku pertemuan tersebut – jika dapat dijadikan kenyataan – juga diusahakan untuk dia menyatakan kekhilafan menilai sikap Nor Hidayah sebelum ini.
“Saya nak jumpa dia sebab nak minta maaf gara-gara pernah memuat naik kecaman pada Nor Hidayah melalui Twitter. Saya termaki-hamun dia sebab tak tahu kisah sebenar.
“Semuanya disebabkan saya mudah terpengaruh dengan kenyataan pihak sebelah lagi sewaktu awal-awal kes terbabit disiarkan di media,” katanya.
You must be logged in to post a comment.