Kebakaran di Amerika semakin kritikal, ramai orang hilang
Berpuluh-puluh orang hilang di Oregon ketika kebakaran terus marak di seluruh barat Amerika Syarikat (AS), kata Gabenor negeri itu, Kate Brown.
Kebakaran besar-besaran itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang di Oregon dan di 11 di tempat yang lain.
Kira-kira 100 kebakaran melanda negeri ini disebabkan angin dan cuaca kering.
Kebakaran juga berlaku di 12 negeri lain.
Bantuan kecemasan persekutuan telah diluluskan untuk Oregon bagi membantu memerangi kebakaran.
“Banyak orang Oregon menderita sekarang, sama ada kehilangan tempat tinggal atau bimbang tentang keluarga dan komuniti mereka sambil menyaksikan keadaan negeri kita yang cantik ini terbakar,” kata Brown kepada wartawan.
Menurut Brown, kehilangan individu-individu itu dilaporkan berlaku di Jackson, Lane dan Marion.
Setakat ini, kurang daripada 100,000 penduduk Oregon telah diarah berpindah dari kediaman mereka.
Sebelum ini, pegawai negeri memaklumkan hampir setengah juta orang diletakkan di bawah arahan berpindah.
Namun masih ramai yang berada di kediaman masing-masing.
Brown turut mengingatkan penduduk yang sudah berada di kawasan penempatan sementara tidak kembali ke kediaman masing-masing walaupun terdapat laporan tentang kecurian dan kerosakan.
“Penduduk yang cuba kembali ke rumah akan meletakkan nyawa mereka dalam risiko termasuk anggota bomba,” ujarnya.
Setakat 8 September lalu lebih 470,000 ekar kawasan di negeri ini telah musnah terbakar. MG