Surat terbuka kepada Amin Idris

SAUDARAKU Amin Idris. Tidak salah untuk berdiskusi. Kerana sejak dulu Kelantan terkenal sebagai Universiti Politik Terbuka. Anda juga sering dijemput di Negeri Serendah Sekebun Bunga.

Namun di sana perlu disusun adab dan akhlak dalam kita menjemput pihak-pihak untuk berdiskusi. Begitulah saat kami menjemput anda. Penuh tertib dan sopan mengikut luhur yang sepatutnya. Bukan semberono meletak tarikh dan masa tanpa persetujuan anda. Begitu bukan?

Amatlah tidak beradab kita yang tentukan masa dan waktunya. Sedangkan pihak yang ingin kita jemput belum dihubungi memaklumkan persetujuannya. Alangkah manisnya jika disusun budi dan luhur dengan awalnya mendapat persetujuan di pihak Menteri Besar (MB) Kelantan sebelum dihebohkan berkaitan ‘show anda’.

Saudara Amin.

Anda bukan orang baru dalam media. Anda sering dijemput, diundang pelbagai versi bual bicara. Kesemuanya saya pasti ada prosedurnya, ada tertibnya, ada norma akhlaknya. Pernahkah pihak penganjur letakkan tarikh dan masa sebelum mendapat persetujuan anda sebelum hebahan atau promosi? Bagaimana perasaan anda jika penganjur palu gendang program bersama anda sebelum anda sempat dirujuk?

MB Kelantan amat mudah untuk didekati. Pintu pejabatnya terbuka luas kepada sesiapa sahaja. Tanpa kira parti, pangkat, bangsa mahupun keturunan. Tiada ‘body guard’ atau protokol asing untuk berdamping.

Anda menyalahkan pegawai-pegawai Pejabat MB Kelantan yang ‘tidak melayan’ panggilan dan pesanan anda. Sekiranya anda tidak memprovokasi atau mensensasi perkara ini, anda pasti tahu yang rakan-rakan anda di Pejabat MB Kelantan amatlah mudah untuk bekerjasama sekiranya akhlak, adab dan tertib mendahului bicara anda. Pegawai sama sekali tidak boleh menjawab dan memberi keputusan bagi pihak ketuanya sebelum perbincangan dibuat. Provokasi dan jemputan melalui Facebook (FB) adalah tidak ‘tertib terning’ bagi status ‘Selebriti Magnet Sucsess’seperti anda.

Anda bukan asing dengan program di Negeri Kelantan. Malah kerap diundang dengan penuh adab dan tertib keluhuran Timur.

Saudaraku.

Jika tertib di awalnya, alangkah indahnya perjalanan seterusnya. Tertib dan cermatlah. Buang yang keruh ambil yang jernih. Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati. Biduk lalu kiambang bertaut.

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker