Pembubaran DUN Sabah: Mahkamah Rayuan tolak rayuan Musa Aman dan 32 ADUN
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman di sini petang ini.
Keputusan itu merupakan keputusan sebulat suara ketiga-tiga panel hakim yang turut disertai Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 21 Ogos lalu.
Abdul Karim ketika membaca keputusan menegaskan Mahkamah Rayuan tidak akan mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan yang dibuat sebelum ini.
Berdasarkan kepada keputusan tersebut, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan bermula pada Sabtu ini akan berlangsung seperti biasa mengikut pengumuman SPR sebelum ini.
Dalam pada itu, Musa yang ditemui selepas prosiding selesai enggan mengulas lanjut berhubung keputusan itu dan hanya berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Prosiding yang bermula Isnin dan bersambung pada Selasa itu dimulakan dengan hujahan peguam kepada Shafie, Cyrus Das disusuli hujahan peguam SPR, Suzana Atan dan ditutup dengan hujahan balas Firoz Hussein.
Mahkamah Rayuan pada Isnin menangguhkan prosiding rayuan 33 ADUN Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lepas.
Panel tiga hakim yang diketuai Abdul Karim menetapkan prosiding berkenaan disambung Selasa (8 September) pada jam 12 tengah hari.
Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kes semakan kehakiman berhubung 33 wakil rakyat yang mencabar pembubaran DUN Sabah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan 33 ADUN berkenaan menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu, Mohd Shafie telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama, Juhar membubarkan DUN.
Menurutnya, pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut Perlembagaan dan sah.
Susulan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon dan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah.
You must be logged in to post a comment.