Saya sudah maafkan semua orang – Nora Ariffin
KUALA LUMPUR: “Saya sudah mendengar semua pengakuan dan saya sudah memaafkan semua orang.”
Itu kenyataan dikeluarkan penyanyi, Nora Ariffin berhubung penyebaran video yang memaparkan aksi anak perempuannya bercumbu dengan seorang remaja lelaki seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Saya juga sudah menghukum anak saya mengikut hukum agama. Biarlah dia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah.
“Moga menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, remaja lelaki yang terbabit dalam pelakuan sumbang itu tampil memohon maaf secara terbuka menerusi sebuah video yang tular, beberapa jam lalu.
“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga Puan Nora dan juga ahli keluarga saya. Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku terhadap anak Puan Nora untuk dijadikan viral.
“Saya juga amat menyesali apa yang sudah saya lakukan terhadapnya. Saya juga ingin meminta jasa baik netizen untuk menghentikan penularan video itu.
“Saya juga ingin memohon maaf atas penularan video berkenaan,” katanya dalam video durasi 1.02 saat itu.
Sejak beberapa hari lalu, warganet kecoh apabila video memaparkan aksi sepasang remaja bercumbuan viral di Twitter.
Susulan itu, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin tampil membuat pengakuan bahawa remaja perempuan terbabit adalah anaknya.
Selepas tersebarnya video itu, warganet bukan sahaja mengecam remaja perempuan berkenaan, malah, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema, terkena tempiasnya.-BH