Tiada laporan rasuah, bos SPR kata PRK Slim ‘terbaik’

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh berkata sehingga hari ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan berlaku sogokan wang dalam pilihan raya kecil (PRK) Slim baru-baru ini.

Menurut Abdul Ghani “tidak ada langsung” isu berkenaan dibawa kepada SPR, namun akan meminta agar ia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada aduan dibuat.

Pada masa sama Abdul Ghani – yang baru dilantik mengetuai SPR – menjelaskan PRK Slim itu adalah yang terbaik pada pandangannya.

“Dari segi aduan kita tidak menerima apa apa aduan berhubung dakwaan politik wang ini, tak ada langsung.

“Tapi apa yang Tun (Dr Mahathir Mohamad) dakwa itu kita tak boleh nak kata apalah, sebab kita berdasarkan kepada laporan.

“Kalau tak ada laporan maknanya pilihan raya ini pilihan raya yang terbaiklah bagi saya,”

Abdul Ghani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad kelmarin.

Kata Mahathir berlaku banyak kejadian sogokan wang dalam PRK Slim, baru-baru ini yang menyaksikan calon BN menang besar mengalahkan dua calon bebas, termasuk seorang daripadanya mewakili Pejuang.

Menurut Mahathir, perkara itu disedari pihaknya selepas mereka mengkaji faktor yang membawa kepada kekalahan calon mereka.

“Kita dapati bahawa kegunaan wang sogokan amat berleluasa.

“Ramai orang yang kata ada bayaran mereka dapat. Ada yang dibawa dengan bas ke tempat pengundian, mereka dibayar duit atas bas, ada yang dibayar duit atas van.

“Kali pertama mungkin mereka dibayar RM100, setelah tunjuk mereka memilih BN, mereka akan dapat lagi baki RM150,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan SPRM sama ada terdapat laporan dibuat kepada mereka dan status semasa siasatan.

BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Slim apabila calonnya, Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker