Duterte arah ketua kastam tembak mati penyeludup dadah

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, secara terbuka mengarahkan pegawai tertinggi kastam negara itu untuk menembak dan membunuh penyeludup dadah.

Ia adalah antara ancaman secara terang-terangan dilakukan Duterte sepanjang kempen empat tahunnya memerangi dadah, yang turut menjadi agenda utama pentadbirannya.

Beliau memberi arahan itu kepada Pesuruhjaya Biro Kastam, Rey Leonardo Guerrero, dalam ucapannya pada mesyuarat Kabinet mengenai wabak COVID-19, yang disiarkan di televisyen.

Guerrero, jeneral tentera yang bersara dan bekas ketua kakitangan tentera, tidak hadir ketika ucapan itu, namun Duterte berkata beliau sudah bertemu Guerrero dan dua lagi pegawai Isnin lalu di istana presiden di Manila.

Beliau juga mengesahkan sudah meluluskan permohonan penggunaan senjata api bagi pegawai kastam oleh Guerrero dan memaklumkan arahan baru itu kepadanya.

“Dadah masih memasuki negara ini melepasi kawalan kastam dan saya sudah luluskan pembelian senjata api tetapi sehingga kini, kamu (Guerrero) masih belum membunuh walaupun seorang.

“Saya berterus terang dengannya supaya meningkatkan kecekapan kerana dadah masih masuk dan saya mahukannya membunuh…saya akan mempertahankannya dan dia tidak akan dipenjarakan.

“Jika ia berkaitan dadah, kamu tembak dan bunuh, itulah aturannya,” kata Duterte tanpa mengulas lebih lanjut.

Sebelum ini, pada 2016, Duterte meletakkan jabatan kastam negara itu, yang dibelenggu tuduhan rasuah, di bawah kawalan pihak tentera selepas dua bekalan dadah yang besar membolosi kawalan di Manila.

Duterte juga berikrar memerangi dadah secara habis-habisan sehingga tamat baki tempoh dua tahun penggalnya sebagai presiden.

Walaupun Presiden Filipina itu dengan tegas menafikan pernah membenarkan pembunuhan yang tidak mengikut undang-undang, beliau berulang kali mengancam pengedar dadah dengan kematian.

Beliau dan polis negara itu, yang menerajui penguatkuasaan kempen anti dadahnya, sebelum ini berkata kebanyakan suspek dibunuh polis kerana melawan semula atau mengancam nyawa pihak berkuasa.

Lebih 5,700 individu, kebanyakannya suspek kes dadah yang miskin, dibunuh dalam kempen anti dadah Duterte yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Ia turut mengejutkan kumpulan hak asasi manusia dan negara Barat, sehingga mendorong beberapa pihak memfailkan tuduhan jenayah kemanusiaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ). – AGENSI-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker