Aku bilang sampai tiga, semua keluar

“Gambar di atas sekadar ilustrasi”

Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila diacukan pistol oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian rompakan di hadapan bengkel di Jalan Kampung Sungai, Perupok, Bachok awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 5.40 pagi, lelaki berkenaan mengarahkan tiga sekeluarga tersebut keluar dari kereta Perodua MyVi sambil mengacukan pistol.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut melepaskan satu das tembakan ke atas jalan raya sehingga menyebabkan pemandu kereta berkenaan Mohd Subri Abdul Wahab, 34, mengalami kecederaan pada kaki kanan.

Difahamkan sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ke Cherang Ruku.



Menceritakan semula detik cemas itu, Mohd Subri berkata, sebelum kejadian kenderaan yang dipandunya diekori oleh sebuah kereta Produa MyVi dari Kampung Balai.

“Sebaik sahaja tiba di Kampung Sungai, MyVi yang berada di belakang kereta saya memberikan isyarat lampu beberapa kali. Saya memperlahankan kereta kerana menyangka kenderaan tersebut mahu memotong.

“MyVi tersebut terus menghampiri kereta saya. Ketika itu saya melihat salah seorang dari mereka memakai vest polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherang Ruku, di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu MyVi itu menghalang laluan kenderaan yang dipandunya itu secara mengejut.



Katanya, terkejut dengan tindakan itu dia terus menghentikan kenderaan kerana menyangkakan MyVi tersebut dinaiki oleh anggota polis.

“Sebaik sahaja kereta dihentikan, lelaki yang memakai vest dengan tulisan polis pada belakangnya bertindak mengacukan pistol ke arah saya, anak saudara (Rohaizat Johar, 22,) dan abang ipar (Johar Hassan, 51). Ketika itu saya hanya fikirkan mati.

“Lelaki itu menjerit….aku bilang sampai tiga, semua keluar… sambil mengacukan pistol kepada kami.

“Lelaki itu kemudian menembak ke arah jalan raya sebelum melarikan kereta MyVi milik saya,” katanya.



Rohaizat (kiri) dan Johar (tengah) menunjukkan kaki kanan Mohd Subri yang terkena serpihan tembakan.
Mohd Subri berkata, kesan tembakan itu telah menyebabkan kaki kanannya mengalami kecederaan dan terus menghubungi talian kecemasan.

Menurut Mohd Subki, mereka masih lagi trauma dengan kejadian itu dan dia juga tidak boleh makan dan memandu kereta.

Tambahnya, MyVi putih yang dilarikan itu milik isterinya dan digunakan sejak 11 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menuju ke Cherang Ruku.



Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis sama berwarna biru dinaiki dua lelaki bertindak menghalang dan mengarahkan mangsa supaya berhenti.

“Suspek lelaki yang berseluar pendek dan memakai vest ‘polis’ keluar dari tempat duduk penumpang hadapan sambil mengacukan pistol ke arah mangsa dan mengarahkannya turun dari kenderaan.

“Kesemua mangsa kemudian keluar dari kereta dan tiba-tiba satu das tembakan dilepaskan ke arah jalan raya sebelum suspek memandu dan melarikan kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian oleh pihak forensik menemui satu kelongsong peluru berwarna perak bertulis B0063 dan S3 LUGER 9MM.



“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menyalurkan ke hotline polis kontinjen Kelantan di talian 09-7450999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. Sinar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker