PH Johor sahkan bekas MB jumpa pemimpin AMANAH
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian mengadakan pertemuan bersama pemimpin PH, baru-baru ini.
Aminolhuda berkata, pertemuan itu membabitkan ADUN Kempas terbabit dengan seorang pemimpin AMANAH.
Bagaimanapun, Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani, enggan mengulas lanjut butiran pertemuan itu.
“Apa butiran pertemuan, saya tidak boleh komen. Bagaimanapun, saya boleh maklumkan ia berlaku baru-baru ini dengan seorang pemimpin AMANAH.
“Pemimpin AMANAH dan Osman adalah duduk berbincang sikit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kelmarin, tular video Osman yang sedang berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi ADUN Kempas atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan masih menjadi ahli parti berkenaan, namun mendakwa parti itu menyeleweng daripada perjuangan asalnya.
Sebelum ini, Osman mendakwa kehadirannya ke Slim hanya mahu bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakannya itu tiada kaitan dengan politik.
Aminolhuda berkata, jika Osman memilih untuk bersama PH, situasi bertambah sukar apabila jumlah kerusi dalam sidang DUN masing-masing sama menjadikannya tergantung.
“Ia akan menyebabkan jumlah kerusi diperoleh PH dengan Perikatan Nasional (PN) terikat kepada 28 kerusi.
“Oleh itu, kami mempelawa beberapa ADUN PN yang sebelum ini bersama PH untuk kembali bersama kami (PH) untuk mengekalkan mandat rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan terkininya ialah UMNO dan DAP masing-masing 14; BERSATU (12); MIC (dua); PAS (satu); AMANAH (9) dan PKR (empat).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi. BH
You must be logged in to post a comment.