Pemandu Camry langgar lari serah diri
Pemandu kereta yang tular di media sosial dalam kejadian kemalangan langgar lari sehingga mengakibat dua penunggang motosikal cedera sudah serah diri di Balai Polis Gombak kira-kira jam 6.50 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dua mangsa motosikal itu masih dikesan untuk siasatan.
Baca : Langgar Lari Karak: Toyota Camry WXL 3118 Mana Kamu Mahu Lari? [Video]
Katanya, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 56.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak membabitkan sebuah kereta Toyota Camry dengan motosikal kira-kira jam 2.30 petang.
“Dalam kejadian itu, Toyota Camry itu dalam perjalanan dari arah Pahang menghala ke Kuala Lumpur, begitu juga motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama seorang wanita dari arah sama.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan yang berada di lorong kiri jalan tiba-tiba menukar haluan ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan di hadapan dan motosikal berkenaan yang berada di lorong kecemasan cuba mengelak lalu terbabas dan jatuh ke tebing kiri jalan,” katanya.
Kamarulzaman berkata, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan dan meneruskan perjalanannya.
Katanya, dua mangsa terbabit pula dihantar ke Hospital Bentong dan dirawat sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BH
You must be logged in to post a comment.