22 GRO, pelacur kena cekup
SERAMAI 22 pelacur dan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan berasingan Operasi Noda (Op Noda) di dua lokasi di Seri Kembangan dan Kepong, dekat Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serbuan itu dilakukan 16 pegawai dan anggota bermula 5.20 petang.
“Dalam serbuan pertama di sebuah premis di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, kami menahan sembilan wanita warga Vietnam dan Indonesia berusia antara 18 hingga 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur.
Mohd Zani berkata, pihaknya menahan 13 wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 36 tahun yang bekerja sebagai GRO dalam serbuan kedua di sebuah pusat hiburan di Bandar Manjalara, Kepong.
“Kami turut menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 26 tahun masing-masing bekerja sebagai penjaga kaunter serta pengurus premis.
“Selain itu, seramai 60 individu termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 62 tahun yang juga pengunjung pusat hiburan berkenaan ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi itu,” katanya.
Beliau berkata, seramai 25 individu ditahan, manakala 69 individu lagi dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selaras Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) (2020).
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.