Kena bincang dulu sebelum bertumbuk
Pertarungan antara Muhammad Meeraj Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Miracle Mirage Khan’ dengan Muhammad Farkhan Haron boleh direalisasikan.
Bagaimanapun, jurucakap Farkhan, Muhammad Ali Abdul Karim, berkata perlu ada perbincangan antara kedua-dua pihak kerana banyak faktor yang perlu diambil kira.
“Pertamanya, perkara ini perlu ada persetujuan daripada badan dunia. Keduanya, Farkhan adalah pemegang tali pinggang dan kita kena lihat sama ada pertarungan membabitkan perebutan tali pinggang atau ranking, ini kita kena tentukan.
“Selain itu, kedua-dua petinju ini beraksi dalam kelas berbeza… Farkhan dalam kelas cruiserweight manakala Mirage light heavyweight. Jadi, jika pertarungan diadakan kita perlu tentukan mereka beraksi dalam kelas apa.
“Jadi, banyak perkara yang perlu dibincangkan sebelum boleh kita putuskan untuk adakan pertarungan,” kata Ali kepada BH Sukan.
Kelmarin, BH Sukan melaporkan Mirage Khan mengumumkan persaraannya selepas 15 tahun bergelar petinju profesional.
Bagaimanapun, dia sanggup untuk keluar daripada persaraan sekiranya Farkhan yang juga Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) menyahut cabarannya untuk bertarung.
Mirage adalah juara dua kali Majlis Tinju Dunia (WBC) selain pernah turut meraih gelaran Organisasi Tinju Universal (UBO) Antara Benua dan Asia Pasifik.
Ali, berkata Mirage Khan yang seharusnya memulakan langkah pertama sekiranya dia benar-benar serius untuk bertarung dengan Farkhan.
“Dia yang mahu pertarungan ini, jadi dialah yang perlu hubungi kami untuk mengadakan perbincangan,” katanya. BH
You must be logged in to post a comment.