Di mana Datin Eevon?
SURI rumah dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Bandar Botanik, Klang, pada 9 Ogos lalu.
Wanita itu, Datin Eevon Ang, 30, disedari hilang selepas tidak pulang ke rumahnya pada hari kejadian.
Suaminya, Datuk Patrick Yee berkata, isterinya keluar dari rumah dengan memandu Peugeot berwarna putih.
“Dia tidak memaklumkan apa-apa kepada saya mengenai destinasi dituju pada hari kejadian. Sebaik tiba di rumah selepas pulang bekerja, saya dimaklumkan dia sudah keluar.
“Saya ingat dia pergi ke rumah rakan, namun dia tidak pulang ke rumah hingga tengah malam. Saya cuba menghubunginya, namun gagal kerana telefon bimbitnya dipercayai sudah dimatikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Patrick berkata, isterinya jarang keluar jauh dan hanya bersiar-siar di kawasan berhampiran seperti di Bandar Botanik dan Bukit Tinggi untuk hantar anak atau berjumpa rakan.
“Saya hanya membuat laporan polis berhubung kehilangan Eevon pada 13 Ogos lalu kerana menyangka dia mungkin bertemu dengan rakan.
“Namun semua rakannya memaklumkan isteri tiada menghubungi mereka. Malah, saya sudah mencarinya hingga ke sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, namun masih gagal mengesannya,” katanya.
Beliau berkata, hubungannya dan isteri dalam keadaan baik dan wanita itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau masalah sebelum hilang.
“Anak-anak juga sudah merinduinya dan bertanyakan mengenai Eevon setiap hari.
“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi isteri supaya menghubungi saya di talian 017-3516055,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita berkenaan. HM