Beranikah Syed Saddiq Mengaku Tun M Penyebar Cerita Dongeng Dap Pencabul Hak Melayu

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tulisan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai Lim Guan Eng dan Dap dalam Malaysiakini seakan menuduh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penyebar cerita dongeng berkaitan parti itu.

Ulas Puad, ini kerana Syed Saddiq mengakui bahawa dirinya terpesona dengan dongeng dan fiksyen bahawa Dap adalah pencabul hak Melayu.

“Tidakkah Syed Saddiq sedar bahawa yang menjaja cerita Dap, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu jahat adalah mentornya iaitu Mahathir. Sebab itu saya rasa Syed Saddiq lupa tiga perkara ketika menulis rencana tersebut iaitu penjaja cerita Dap jahat adalah Tun, kedua, kalau Dap dan Guan Eng itu bagus sangat sudah tentu dalam tempoh 22 bulan PH memerintah keyakinan orang Melayu akan meningkat terhadap Dap tapi sebaliknya ia mendedahkan lagi tembelang sebenar Dap dan Guan Eng.

“Ketiga, sebenarnya Mahathir konsisten mengatakan Dap adalah jahat dan rasis. Mahathir hanya berlakon memuji kebaikan Dap untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Setelah menjatuhkan BN dan berkuasa, dia berlakon pula untuk menendang Dap dan menggagalkan mimpi Anwar jadi Perdana Menteri.



“… yang penting jawatan Perdana Menteri kekal milik PPBM tanpa perlu ada Dap dan Anwar,” ujar beliau melalui satu kenyataan hari ini.

Mengulas lebih lanjut jelas Puad, sekiranya Syed Saddiq tidak percaya bahawa Dap itu jahat dan pencabul hak Melayu maka dia perlu isytihar bahawa Tun Mahathir adalah penjahat kerana Tunlah yang membawa cerita ‘dengeng’ itu selama 22 tahun.

“Syed Saddiq juga adalah lulusan Oxford dan pernah jadi menteri. Dia boleh rujuk dokumen Mahathir selama 22 tahun itu. Sejarah tidak pernah berbohong.

“Rakyat juga telah nampak siapa Dap itu sebenarnya dan kerana itulah PH dihukum dalam enam PRK terakhir. Akhirnya kerajaan PH hanya bertahan untuk 22 bulan sahaja.



“Kesian Syed Saddiq, dia belum belajar sepenuhnya ‘ilmu muslihat’ daripada atok ‘yang mana betul yang mana dongeng’. Itu pentingnya kiasan ‘saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan’,” sindir Puad.

Untuk rekod, antara yang ditulis oleh Syed Saddiq adalah dirinya antara yang terpengaruh dengan momokan Melayu paling utama iaitu ‘Komunis, bersekongkol dengan negara asing dan mencabul hak Melayu’.

Ujarnya, itu adalah dongeng yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan dirinya adalah seorang daripada mereka yang terpesona dengan kisah seperti itu pada usia muda dan cerita mengenai seorang ahli politik dari Dap serta cerita mengenai Lim Guan Eng.

Namun katanya setelah berada di lorong bertentangan, bukan sekadar berjuang untuk tujuan yang sama tetapi bekerjasama untuk memastikan masa depan negara tetap mempunyai harapan, ketika itu, dirinya mula menyedari bahawa lelaki yang selalu dimomokkan itu (Guan Eng) sebenarnya tidak begitu mementingkan kuasa sebaliknya hanya seorang negarawan – matlamatnya cuma satu, matlamat mendorongnya menceburi politik pada tahun 1980-an, satu matlamat untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik. – UMNO ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker