Zii Jia tumbang di tangan Joo Ven

Kejutan terus berlaku dalam saingan Divisyen 1 Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada sesi petang tadi.

Kali ini, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tumbang kepada Soong Joo Ven dalam pertarungan tiga set. Joo Ven dipaksa bertarung selama 80 minit sebelum mengesahkan kemenangan 21-19, 11-21, 29-27.

“Kami tidak bermain hampir setengah tahun dan perlawanan ini sesuatu yang baik. Pukulan terakhir adalah tuah untuk saya dalam pertarungan yang sengit dan sesiapa yang berjaya mengekalkan fokus akan mempunyai kelebihan,” kata Joo Ven.

Jurulatih perseorangan, Hendrawan pula menyatakan: “Dia berasa letih dan memerlukan pemulihan kerana perlawanan tadi sangat sengit, ditambah dia ada lagi perlawanan malam ini.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kejohanan ini sukar untuk Zii Jia kerana mereka sudah biasa berlatih sama sama.”

Hendrawan juga mengesahkan pemain perseorangan profesional negara, Liew Darren tidak dapat meneruskan saingan.

“Keadaan Darren selepas perlawanan pagi tadi agak kurang baik kerana hampir pengsan dan kembali ke bilik untuk berehat. Dia beritahu sudah tidak mampu untuk meneruskan lagi saingan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Cheam June Wei terus mengekalkan aksi konsisten untuk menerajui carta selepas melakar kemenangan 21-18, 21- 21-14 ke atas Leong Jun Hao.

Dalam saingan beregu lelaki Kumpulan A, Ooi Jhy Dar-Yap Roy King dipaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan kemenangan ke atas Choong Hon Jian-Loo Bing Kun 15-21, 21-15, 21-10.

Saingan bergu campuran pula menyaksikan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menghidupkan peluang untuk memburu dua kedudukan teratas selepas menang ke atas Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 20-22, 21-18, 21-17.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara petang tadi untuk menyaksikan sendiri kejohanan pertama yang dianjurkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Kehadiran beliau disambut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang kemudiannya mengiringi Reezal Merican ke arena pertandingan untuk menyaksikan perlawanan antara Zii Jia dan Joo Ven.

“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) dijaga dengan rapi dan saya nampak semua menitikberatkan kesihatan dan sanitasi.

“Saya berpuas hati dan jika ini berterusan, dengan norma baharu walaupun kita depan dengan Covid 19 dan kita berharap tidak ada berlaku penularan daripada kelompok kluster sukan,” ujar Reezal Merican.

Beliau turut memuji BAM dalam menganjurkan pertandingan ini kerana ia memberi satu pendedahan yang baik terutamanya pemain-pemain muda.

“Yang paling baik di sini adalah pemain pemain dapat bermain bersama sama termasuklah pemain pemain remaja.

“Ini satu pendekatan yang cukup baik. Bayangkan bagaimana ketika pemain pemain remaja berlatih dan melihat bagaimana pemain pemain senior bermain dan ia memberi motivasi yang berbeza berbanding ketika pemain pemain remaja ini berlatih di Bukit Jalil sebelum ini,” katanya lagi. SH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker