Gula – gula PRN Sabah: Pemberian geran tanah, PBS & Warisan berbalah

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Warisan saling berbalah mengenai siri jelajah Mohd Shafie Apdal yang menyaksikan ketua menteri Sabah itu menyerahkan geran tanah kepada Orang Asal.

Setiausaha Agung PBS dan Adun Tamparuli, Jahid Jahim mendakwa, Shafie mengambil kesempatan di atas hasil usaha BN.

Dia mendakwa bekas ketua menteri, Musa Aman adalah individu yang mempercepatkan proses tinjauan tanah melalui Perkhidmatan Tanah Pribumi Negeri Sabah (Pantas) pada masa lalu.

Menurut Jahid, kerajaan BN pada ketika itu telah menyumbang sebanyak RM20 juta untuk membiayai kos tinjauan dan ini merupakan berkat usaha Presiden PBS, Maximum Johnity Ongkili.

Pendekatan yang lebih tepat, kata Jahid, adalah pegawai daerah masing-masing menyampaikan geran tanah berkenaan dan bukannya ketua menteri, yang menggunakan majlis penyerahan untuk menyampaikan ucapan politik.

Sebelum pilihan raya 2018, Musa mengumumkan program Pantas telah mengeluarkan 21,378 hak milik tanah sejak 2011.

Geran hak milik tanah tersebut adalah bagi mengiktiraf hak kaum pribumi terhadap tanah nenek moyang mereka dan hanya boleh dijual di kalangan masyarakat Bumiputera Sabah.

Ketua Warisan Bahagian Kalabakan dan Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman mendakwa Jahid mengabaikan fakta bahawa geran tanah yang dikeluarkan oleh Shafie bertujuan menghalang usaha mewartakan tanah asli sebagai hutan simpan.

Sabah memiliki banyak kategori hutan simpan dan mana-mana hutan simpan selain daripada Kelas 1 tidak dilindungi sepenuhnya.

Hutan simpan Kelas 2 dibenarkan untuk penebangan balak.

“Kini mereka mempersoalkan keikhlasan Ketua Menteri memulangkan tanah kepada rakyat, mungkin disebabkan syarikat kroni tidak lagi mampu menebang balak,” katanya.

Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) dipinda pada April bagi membolehkan mereka yang tinggal di hutan simpan tertentu memiliki hak atas tanah tersebut.

Ma’mun juga mendakwa Jahid “berkhayal” kerana mendakwa usaha tersebut bermula semasa era BN.

“Kalau betul mereka yang berusaha perlukah rakyat menunggu 30 atau 40 tahun? Parti Warisan Sabah berjaya menyelesaikan masalah itu hanya dalam dua tahun,” katanya.

MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker