Dakwa polis, askar tak solat: PDRM buka kertas siasatan buat Asri

 

Polis membuka kertas siasatan ke atas peniaga burger yang tular baru-baru ini, Asri Janggut, selepas dia mendakwa kebanyakan anggota keselamatan tidak menjaga solat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan bahawa kertas siasatan itu dibuka susulan laporan yang dibuat ke atas Asri hari ini.

Katanya ada dua laporan polis dikemukakan masing-masing satu di Balai Polis Jalan Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak.

“Polis akan panggil dia dalam minggu ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Semalam, satu klip video sepanjang kira-kira 31 saat memaparkan Asri – semasa mengadakan sidang media – mendakwa kebanyakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat masing-masing.

Dakwaan tersebut mula tular dan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial serta menerima kecaman netizen.

Peniaga burger yang bernama penuh Mohd Asri Hamid sebelum ini menarik perhatian ramai apabila membuat pendedahan mengenai kegiatan perjudian tanpa lesen dan penjualan rokok seludup yang tidak dikenakan tindakan di sekita Bandar Baru Sungai Buloh.

 

Mengaku bodoh, celupar

Dia yang muncul dengan pakaian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertindak demikian selepas pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas perniagaannya.

Majlis Bandaraya Shah Alam pula memberitahu tindakan berkenaan diambil kerana gerai terbabit tidak berlesen. MBSA juga mendedahkan mereka pernah menawarkan tapak gerai sementara kepada Asri namun ditolak.

Mior Faridalathrash polis menyiasat kes laporan ke atas Asri itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu hari ini Asri tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuatnya mengenai anggota polis dan tentera.

Menerusi video yang dimuat naik PPIM, Asri berkata dia tidak berniat membuat kenyataan yang mengguris perasaan dan berjanji tidak akan menyentuh atau mengulas sebarang perkara yang berkaitan dengan dua pihak berkuasa itu lagi.

“Saya, Mohd Asri Hamid dengan ini sepenuh hati, rendah diri dan sehina-hinanya memohon maaf kepada seluruh anggota PDRM dan ATM atas kesilapan, kejahilan dan kebodohan saya kerana celuparnya mulut saya yang membuat satu kenyataan mengatakan kebanyakan polis malas solat.

“Saya memohon jutaan maaf kerana saya tidak jangka boleh cakap macam itu… mereka adalah pembantu negara, saya sekali lagi memohon maaf kerana Allah, maafkan atas segala kesilapan saya.

“Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM,” katanya.

Pusat Judi Sg. Buluh, Menteri KDN beri tindakan keras jika polis terlibat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker