‘Siapa mengata Dr M dan Mukhriz, saya tumbuk’
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu memberi amaran kepada ahli parti itu supaya tetap menghormati bekas pemimpin mereka, iaitu Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir.
Faizal berkata,walaupun Mahathir dan Mukhriz – yang merupakan bekas pengerusi dan timbalan presiden – tidak lagi dalam Bersatu, para ahli tetap perlu menghormati mereka dan pada masa sama memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin Yassin selaku presiden.
“Semua ahli pelu memberi sokongan 100 peratus kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Bukan kita tak sayang pemimpin lama dan saya kata di tempat lain dan banyak orang tak berapa suka saya cakap.
“Kalau ada orang mengata Dr Mahathir, kalau kata orang kata bukan-bukan kepada Mukhriz, saya tumbuk. Saya ini panglima dia. Siapa cakap tak baik tentang dia saya tumbuk, gaduh pun gaduhlah, serius,” katanya.
Mahathir Mohamad
Menteri besar Perak itu berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat bahagian-bahagian Bersatu Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mengenepikan saman Mahathir dan empat lagi yang mencabar pemecatan mereka daripada Bersatu.
Pada masa sama Mahathir dijangka mengumumkan penubuhan sebuah parti baru.
Ahmad Faizal yang mesra dikenali sebagai Peja berkata, tugas ahli parti bukan menjadi pengadu domba antara pemimpin sebaliknya ejen menyatupadukan mereka.
“Hari ini presiden kita adalah perdana menteri, kita patut berbangga. Apakah Tan Sri Muhyiddin seorang yang sempurna? Sudah tentu tidak. Dia ada banyak kelemahan, Peja sebagai menteri besar Perak seorang yang sempurna? Tentu tidak.
“Apakah Dr Mahathir sebagai perdana menteri kita dulu sempurna? Tentu tidak, tetapi hari ini ditakdirkan Allah bahawa Muhyiddin memegang teraju kepimpinan dan tanggungjawab kita sebagai ahli bagi sokongan sepenuhnya.
Pada masa sama dia juga menyuarakan harapan agar Dr Mahathir dan sejumlah lagi yang menyokongnya untuk “dilembutkan hati” dan kembali menguatkan Bersatu.
“Sambil kita selepas solat kalau rajin buat solat hajat dua rakaat. Minta (doa) pada Allah (agar) lembutkan hati Dr Mahathir, lembutkan hati Mukhriz, kembali bertaut semula (dan) kuatkan kembali parti kita. Bukan mengapi-apikan lagi sesama pemimpin,” katanya lagi. Mkini
You must be logged in to post a comment.