Parti baru bakal jadi penentu pemenang PRU15, kata Dr Mahathir
Dr Mahathir Mohamad berkata parti yang bakal ditubuhkannya akan menjadi kumpulan penentu kepada pemenang dalam pilihan raya umum ke 15 (PRU15) akan datang.
Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun parti baru yang ditubuhkannya merupakan minoriti, namun mereka akan dapat menjadi kuasa blok ke-3 dalam arena politik negara.
“Kita harus bebas dan tidak terikat dengan sesiapa. Kita berbeza, tetapi bila kita bertanding, kita tidak akan dapat kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.
“Tetapi kumpulan kita yang akan tentukan siapa yang menang (PRU15). Jika ada 2 puak, kita akan tentukan permainan,” katanya di hadapan penyokong di sebuah hotel di Petaling Jaya dalam program Wadah Perjuangan Baru Bersama Ayahanda Tun, hari ini.
Mahathir dan 5 bekas pemimpin PPBM yang dilucutkan keahlian parti itu mengumumkan penubuhan parti baru berteraskan Melayu dan Bumiputera.
Dalam pada itu, Mukhriz Mahathir berkata, kerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRU15 bergantung pada faktor kesediaan menolak kleptokrasi.
“Kita mesti kerjasama dengan satu pihak untuk wujudkan kerajaan. Jadi ketika itu kita boleh buat pilihan dengan siapa kita nak bekerjasama.
“Tapi apapun, sesiapa yang kita nak kerjasama tidak boleh kleptokrasi dan kena ikut kita punya kehendak. Kita tidak mahu kerjasama dengan mana-mana pihak akan bawa kerosakan kepada negara,” katanya selepas program tersebut.
Mukhriz bakal mengetuai parti baru itu sebagai presiden, sementara Mahathir berperanan sebagai pengerusi parti.
Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian PPBM yang diterajuinya sebelum ini disahkan terbatal.
Beliau bagaimanapun belum menamakan parti baru itu kerana menunggu proses permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Katanya, asas penubuhan parti itu akan mengambil “DNA” asal PPBM sebelum ini.
“Parti baru yang kami tubuh ini tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran, iaitu tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak juga dengan Perikatan Nasional (PN). Asas perjuangan kami masih mahu menghapus rasuah dan kleptokrasi,” katanya. FMT
You must be logged in to post a comment.