Revolusi luar biasa BLACKPINK

SETUJU atau tidak, BLACKPINK dari Korea Selatan satu-satunya kumpulan wanita paling berpengaruh di dunia ketika ini.

Apa yang menarik, mereka cuma mengambil masa empat tahun untuk menakluk dunia dengan pencapaian luar biasa.

Oleh itu, pengumuman rasmi kumpulan dibarisi Jennie, Jisoo, Rose dan Lisa bakal melancarkan album sulung pada Oktober ini disambut gembira jutaan peminat mereka yang dikenali sebagai BLINKs.

Demikian betapa eksklusifnya kumpulan naungan YG Entertainment itu mencatur penghasilan album mereka.

Walaupun belum memiliki album penuh, sebuah lagu mereka umpama album penuh buat peminat.

Baru-baru ini, mereka mencipta kejayaan menerusi single baharu How You Like That sehingga melakar sejarah luar biasa.

Setiap hari, ada saja rekod lama yang berjaya dipadam gara-gara penangan lagu terbabit.

Guinness World Records (GWR) mengumumkan BLACKPINK membolot lima rekod baharu menerusi video muzik How You Like That itu. Ia termasuk Video Paling Banyak Ditonton Dalam Masa 24 Jam di YouTube.

Seterusnya, rekod keduanya adalah Video Muzik K-Pop Paling Banyak Ditonton Dalam Masa 24 Jam di YouTube selepas ditonton 86.3 juta dalam masa sehari dimuat naik. Rekod terdahulu dipegang kumpulan BTS menerusi video muzik lagu Boys With Luv yang menerima tontonan 74.6 juta dalam tempoh 24 jam.

Tidak ketinggalan, mereka turut memperbaharui rekod Penonton Terbanyak Penayangan Video di YouTube dan Penonton Terbanyak Penayangan Muzik Video di YouTube. Pada waktu perdana, 1.6 juta direkodkan menonton video itu.

Bagaimana BLACKPINK mampu mencipta sejarah luar biasa dalam industri muzik global? Hakikatnya, mereka juga mengatasi pencapaian artis senior sebumbung termasuk BIGBANG dan Psy.

Tahun lalu, single terakhir mereka berjudul Kill This Love turut diiktiraf GWR selain mencipta rekod siri jelajah konsert paling tinggi pendapatannya oleh kumpulan wanita dari Korea Selatan. Itu tak termasuk kemunculan barisan hadapan di pelbagai pertunjukan fesyen mega dihadiri mereka.

Jika diikutkan, tugas yang digalas mereka cukup berat selepas YG Entertainment pernah menghasilkan kumpulan wanita hebat terdahulu iaitu 2NE1.

Namun, BLACKPINK cuma perlukan satu malam untuk membina legasi sendiri.

Koleksi lagu mereka setakat ini termasuk Whistle, Boombayah, Playing With Fire, Stay, dan Ddu Du Ddu Du, semuanya diterima di peringkat antarabangsa. Ditambah pula penampilan mereka yang cukup kuat karakternya dengan aura berapi.

Uniknya mereka, tiada seorang pun diangkat menjadi ketua kumpulan sebagai identiti kepada kumpulan. Mereka sebaliknya berpengaruh baik secara apa sekali pun dan masing-masing memiliki jutaan pengikut di media sosial.

Menurut Jennie, pendekatan itu diambil berikutan setiap mereka memerlukan satu sama lain. Formula itu hakikatnya membuka ruang buat mereka memikat jutaan peminat di seluruh pelosok dunia.

“Saya tidak rasa keperluan untuk ada anggota spesifik lebih menyerlah dalam tarian mahupun nyanyian. Keharmonian BLACKPINK jadi lebih lengkap dengan gabungan tenaga setiap anggota,” katanya.

ALBUM sulung BLACKPINK dilancarkan Oktober ini.
ALBUM sulung BLACKPINK dilancarkan Oktober ini.

Pelan kerjaya mereka turut tidak terlepas daripada liku-liku. BLACKPINK berterusan menerima kritikan peminat, pelbagai petisyen dan ugutan boikot namun itulah juga yang meletakkan nama mereka sebagai tajuk besar serta liputan tanpa had.

Seperti nama besar dalam muzik lain, kumpulan ini turut bijak memahami kuasa mengahwinkan dunia muzik dengan fesyen. Pembawaan gaya tersendiri mereka sehingga menjadi buruan untuk diundang ke pertunjukan fesyen besar dunia.

Tahun lalu, Jisoo hadir ke London untuk Burberry, Rose di Saint Laurent, Jennie duduk bersebelahan Cardi B di Chanel manakala Lisa diterbangkan ke Milan untuk koleksi Celine pada Februari tahun ini.

Pelan takluk dunia tiada had

Pada hujung 2018, BLACKPINK dilamar Interscope Records di Amerika Syarikat (AS) secara langsung untuk pasaran di sana. Pelan itu antara yang paling strategik dan tidak pernah dicuba mana-mana kumpulan wanita dari Korea Selatan selain Girls’ Generation pada 2012.

Walaupun baru setahun jagung, persembahan mereka dalam rancangan Good Morning America dan The Late Show with Stephen Colbert sepantas kilat tular seluruh dunia. Tidak ketinggalan, mereka turut meledakkan festival muzik terbesar dunia, Coachella.

Kerap dikait dengan aspek kekangan bahasa berdekad lamanya, peminat bukan Korea tidak lagi menjadikan alasan itu untuk memuja artis dari sana. BLACKPINK tidak terkecuali apabila peminat luar tahu mencari jalan untuk memahami bait lirik lagu mereka.

Sering kali disentuh peminat tentunya aura positif yang ditampilkan setiap anggotanya sepanjang masa. Kumpulan itu ternyata menyalurkan segala-gala dalam apa juga mereka lakukan dengan tenaga luar biasa.

Sekarang, tiada sesaat pun setiap anggotanya tidak sibuk meski mereka tidak lakukan aktiviti mahupun lancar lagu baharu. Bahkan, setiap masa pasti mereka meluangkan masa untuk mengemas kini akaun media sosial peribadi mahupun kumpulan.

Menyentuh muzik baharu pula, kerjasama mereka bersama Lady Gaga menerusi lagu Sour Candy juga tidak mengecewakan selepas kejayaan lagu Kiss And Make Up bersama Dua Lipa.

Bahkan, kini mereka dikhabarkan bakal bekerjasama dengan satu lagi nama hebat dalam album penuh akan datang itu kelak.

Sejauh mana lagikah tahap kejayaan yang mereka akan lakar selepas ini? Barangkali mereka bakal menjadi kumpulan wanita K-Pop pertama yang berjaya meruntuhkan tembok pemisah menembusi industri muzik Barat, siapa tahu! Yang pasti, mereka sudah mencipta revolusi luar biasa.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker