Pengguna Twitter dakwa hakim kes Najib ahli keluarga Dr M dikenal pasti
Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter yang mendakwa hakim kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib Razak ada pertalian persaudaraan dengan Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata individu itu akan dipanggil minggu depan bagi memberi keterangan.
“Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan,” katanya kepada Bernama.
Siasatan dijalankan selepas laporan polis diterima di Taiping, Perak semalam dan polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Semalam, media melaporkan seorang ahli PPBM Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung ciapan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di Twitter.
Pada Selasa lepas, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan 7 kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang cucu saudara Mahathir.
Mukhriz, yang juga anak ahli Parlimen Langkawi itu, menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta peguam negara menyiasat tohmahan berkenaan. FMT
You must be logged in to post a comment.