Lelaki dipenjara kerana cuba letupkan bekas isteri
Mahkamah Austria semalam menjatuhkan hukuman penjara hampir 18 tahun terhadap seorang lelaki yang melakukan serangan bom terhadap bekas isterinya.
Mangsa berusia 27 tahun yang juga ibu kepada tiga anak, mengalami kesan lecur serius dalam serangan pada Oktober lalu, yang menggunakan bom buatan sendiri.
Kotak berisi bom berkenaan meletup ketika mangsa mengambilnya di luar pangsapuri miliknya di pekan Guttaring, Carinthia di selatan Austria.
Mahkamah di Klagenfurt, ibu negara Carinthia, menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun lapan bulan terhadap bekas suami mangsa selain menahannya di pusat rawatan pesakit mental.
Seorang rakan jenayahnya berusia 29 tahun, yang membantu melakukan serangan itu, menerima hukuman penjara 16 tahun.
Kedua-dua tertuduh selain pihak pendakwa boleh membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Berdasarkan prosiding mahkamah, rakan jenayah bekas suami mangsa, seorang anggota tentera, meletakkan bungkusan bom di rumah mangsa, menekan loceng dan kemudian melarikan diri.
Bekas suami mangsa, yang juga bekas anggota tentera, menyorok berhampiran dan meletupkan bom buatan berkenaan dari jauh.
Kata polis, kedua-dua suspek sebelum ini menguji bom buatan mereka di kawasan hutan ketika musim panas, selepas memperoleh bahan yang diperlukan secara dalam talian. – AFP
You must be logged in to post a comment.