Julang Piala EPL : Hari paling bermakna buat Klopp
Pengendali Liverpool Jurgen Klopp berkata peluang menjulang trofi di Anfield amat bermakna buatnya walaupun terpaksa melakukannya dalam stadium kosong tanpa penonton.
Liverpool mengesahkan gelaran liga pertama dalam tempoh 30 tahun bulan lalu, tetapi perlu menunggu sehingga kemenangan 5-3 ke atas Chelsea pada perlawanan terakhir di laman sendiri untuk memegang trofi berkenaan.
“Anda lakukan apa yang terbaik mengikut keadaan. Hari ini keluarga kami dibenarkan berada di sini dan ia menakjubkan. Ia amat bermakna buat saya.
“Ia akan lebih baik jika peminat ada bersama tetapi sejak beberapa bulan lalu kita tahu ia mustahil. Beberapa bulan lalu juga saya rasa seperti mustahil untuk kembali bermain bola.
“Saya amat gembira, ia akan sempurna jika stadium penuh tetapi itu tidak boleh diubah. Tetapi kami mahu mereka tahu yang kami lakukan ini untuk mereka,” kata Klopp.
Liverpool mendahului 3-0 di babak pertama menerusi Naby Keita, Trent Alexander-Arnold dan Georginio Wijnaldum sebelum Olivier Giroud merapatkan jurang dengan jaringan sebelum rehat.
Roberto Firmino meledak gol liga pertamanya di Anfield musim ini untuk Liverpool kembali melebarkan jurang.
Christian Pulisic yang masuk sebagai pemain gantian memastikan Chelsea kembali dalam permainan dengan mengumpan bola untuk Tammy Abraham menjaringkan gol dan dia sendiri menemui sasaran untuk menjadikan kedudukan 4-3.
Bagaimanapun Alex Oxlade-Chamberlain memastikan kemenangan buat Liverpool selepas menyudahkan hantaran lintang Andy Robertson. BH