Tokan berselindung di sebalik hotel mewah

LELAKI menggunakan bilik di hotel mewah di Jalan Stesen Sentral, Brickfields di Kuala Lumpur sebagai lokasi pengedaran dadah.

Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 37 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahannya di tepi jalan berhampiran hotel terbabit pada 11.20 malam Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek kemudiannya merampas dua kad akses, satu rangkai anak kunci kereta dan dua paket dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 103.7 gram.

Menurutnya, bertindak atas hasil siasatan dan dipandu arah oleh suspek, polis membuat pemeriksaan di sebuah bilik di hotel mewah yang terletak di Jalan Stesen Sentral.



“Hasil pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis methamphetamine, pil ecstasy, pil Erimin 5 dan ganja. dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM112,720.

“Semakan lanjut, suspek didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek pula didapati positif methampetamine,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mazlan berkata, suspek direman seminggu bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah dadah dirampas methamphetamine seberat 2,242 gram bernilai RM104,200, pil ecstasy seberat 104.3 gram bernilai RM7,800, pil Erimin 5 seberat 5.1 gram bernilai RM300 dan ganja seberat 8.4 gram bernilai RM420.



“Saya menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dadah untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menghubungi mana – mana balai polis berdekatan,” katanya.HM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker