Ceroboh perairan: Bukan bermaksud Malaysia lemah, kata pakar
Pencerobohan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di perairan Malaysia lebih 89 kali sejak 2016 bukan bermaksud Malaysia tidak berdaya mempertahankan wilayah perairannya, kata pakar.
Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Roy Anthony Rogers berkata Malaysia telah bertindak dengan menyampaikan rasa tidak senangnya terhadap pencerobohan di Luconia Shoals – juga dikenali sebagai Beting Patinggi Ali- melalui kaedah diplomatik.
“Malaysia sebagai negara yang mengamalkan sikap berkecuali telah melakukan yang terbaik untuk mencegah pencerobohan dengan kemampuannya sendiri.
“Satu-satunya yang boleh dilakukan pada ketika ini adalah dialog diplomatik dan tidak menggunakan kekerasan, dalam kerangka undang-undang antarabangsa,” kata Rogers kepada Malaysiakini.
China, katanya, harus sedar bahawa Malaysia adalah “teman istimewa” mereka dan tidak boleh membahayakan persahabatan itu dengan melakukan pencerobohan.
Beliau berkata, hubungan antara Malaysia dan China telah terjalin sejak tahun 1970-an.
“Sebenarnya, Malaysia adalah antara negara pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf China dan hubungan dua hala ini telah berkembang menjadi perniagaan, perdagangan dan sosio-ekonomi.
“Malaysia telah menjadi rakan dagang yang kuat dengan China,” katanya.
Jabatan Audit Negara (NAD) sebelum ini mengatakan bahawa kapal CCG dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.
Malaysia telah mengeluarkan enam nota protes diplomatik terhadap China.
Semakan mendapati kapal CCG mengekalkan keberadaannya berhampiran Luconia Shoals, yang terletak 100km dari perairan Sarawak, sejak Disember tahun lalu hingga 7 Julai tahun ini.
Malaysia ada strategi sendiri
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) Salawati Mat Basir tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Malaysia lemah dan tidak berdaya menangani pertikaian mengenai wilayah perairannya.
“Malaysia mempunyai strategi keselamatan sendiri yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Kerajaan mengadakan rundingan dengan China tetapi ia tidak dihebohkan.”
Salawati, yang mengajar subjek dasar luar dan kerjasama pertahanan, mengatakan strategi diplomatik Malaysia telah menghalang China daripada bertindak agresif.
“Tidak seperti Malaysia-China, Vietnam, Filipina dan Taiwan terlibat dalam konfrontasi yang tegang dengan China dalam hal pertikaian perairan.
“Malaysia dan China mempunyai hubungan yang baik kerana Malaysia mempunyai dasar diplomatik yang jelas dan teratur.”
Sembilan Garis Putus-Putus
Berhubung kapal CCG yang mengekalkan kehadirannya berhampiran Luconia Shoals, Salawati berkata China hanya ingin menjadikan kehadiran mereka dirasakan sesuai dengan tuntutan mereka di kawasan yang dipertikaikan.
Sebagai rekod, China mendakwa kedaulatannya terhadap sebahagian besar Laut China Selatan yang dikenali sebagai “sembilan garis putus-putus.”
“Mereka tetap berada di kawasan itu untuk mempertahankan tuntutan mereka di sembilan garis putus-putus.
“Kapal-kapal mereka tidak hanya dekat Luconia Shoals, tetapi juga di wilayah-wilayah yang dipertikaikan yang melibatkan negara-negara Asean lain,” katanya.