Pemilik hospital Bangladesh ditahan kerana keluar sijil bebas Covid-19 kepada 6,300 pesakit
DHAKA: Seorang pemilik hospital di Bangladesh, yang dituduh mengeluarkan ribuan keputusan ujian Covid-19 palsu kepada pesakit di 2 kliniknya ditahan pada Rabu ketika cuba melarikan diri ke India.
Menurut polis, penahanan itu menamatkan operasi memburu Mohammad Shahed atas tuduhan memberi sijil palsu kepada pesakit yang mengesahkan mereka bebas Covid-19 tanpa menjalankan sebarang ujian.
Shahed, 42, antara salah seorang daripada 12 orang yang ditahan oleh pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu, dikatakan ada kaitan dengan sindiket penipuan.
Pakar memberi amaran pengeluaran dokumen palsu itu akan memburukkan lagi situasi pandemik di negara berpopulasi 168 juta rakyat itu dengan mencetuskan keraguan terhadap ketulenan sijil yang dikeluarkan klinik.
“Suspek ditahan di tebing sempadan sungai ketika cuba melarikan diri ke India dan memakai purdah,” kata seorang jurucakap Batalion Tindakan Pantas (RAB), Kolonel Ashique Billah kepada AFP.
“Hospital miliknya menjalankan 10,500 ujian koronavirus, di mana 4,200 adalah asli dan selebihnya, 6,300 laporan ujiannya dikeluarkan tanpa melakukan ujian.”
Shahed juga dituduh kerana mengenakan caj bagi pengeluaran sijil dan rawatan virus itu walaupun mencapai persetujuan dengan kerajaan untuk memberikan rawatan percuma.
Seorang doktor terkenal dan suaminya juga ditahan atas pertuduhan mengeluarkan ribuan sijil ujian palsu di sebuah makmal di Dhaka.
Dakwaan penipuan itu dikhuatiri boleh menjejaskan pendatang asing yang mahu ke luar negara di mana pengiriman wang merupakan kunci ekonomi Bangladesh, menurut Shakirul Islam dari kumpulan hak pendatang asing OKUP.
Kerajaan Itali minggu lepas menangguhkan penerbangan ke Rom dari Bangladesh untuk mengekang penularan wabak dalam komuniti.
Ia susulan beberapa penumpang yang tiba dari Dhaka menunjukkan tanda positif Covid-19.
“Sebilangan warga Bangladesh yang diuji positif di Itali didakwa membawa sijil Covid-19 negatif dari Bangladesh,” dakwa Islam.
“Kerajaan perlu memastikan kualiti ujian Covid-19 di makmal tempatan demi pasaran kerja luar negara.”
Hampir AS$19 bilion dihantar pulang ke Bangladesh dengan anggaran 12 juta pekerja asing tahun lepas, menurut data bank pusat.
Bangladesh mencatatkan lebih 193,000 kes jangkitan Covid-19 dengan 2,457 kematian setakat ini.
Namun, pakar perubatan mendakwa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana jumlah ujian yang dilakukan amat sedikit.
Negara itu membuka semula kegiatan ekonomi selepas melaksanakan perintah berkurung pada hujung Mei walaupun kes baru ketika itu meningkat. FMT
You must be logged in to post a comment.