Tak ada siapa yang mahu cerai, Erra Fazira

“TIDAK ada sesiapa nak perceraian, saya pun pasti Bella dan bekas suami tak nak,” ujar Erra Fazira, 46, berhubung perceraian Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, baru-baru ini.

Pengacara, pelakon, dan penyanyi itu mengakui tahu serba-sedikit mengenai pergolakan rumah tangga mereka, namun tidak berniat untuk masuk campur langsung.

“Saya tahu sedikit sebanyak mengenai pergolakan itu. Tetapi, secara mendalamnya, saya tidak tahu dan tak mahu tahu pun. Kalau mereka tak buka mulut, saya pun zip mulut,” katanya.

Tambah Erra, dia juga ada bercerita mengenai hal itu dengan Bella dan Emran serta tahu mereka sudah lakukan sehabis baik untuk selamatkan rumah tangga dibina.

“Sebagai wanita kami hanya berbicara cerita umum pasal wanita. Saya sedikit sebanyak, beri nasihat tapi taklah secara terperinci sebab Bella pun tak beritahu terperinci.

“Bukan mereka tidak cuba selamatkan rumah tangga, tapi Itulah ketentuanNya. Saya juga pernah bercakap dengan bekas suami, tapi tidaklah sampai nak bercerita lanjut mengenainya,” katanya.

Penyanyi lagu Menangkah Cinta berkenaan turut menitipkan nasihat buat Bella, di mana dia berharap pelakon kelahiran Indonesia itu bersabar menerima dugaan.

“Dalam setiap pahit, pasti ada hikmah dan manisnya. Allah uji kita sebab Allah sayang kita dan adalah ganjarannya itu nanti. Bersabar sajalah,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Bella, 32, mengesahkan dia sudah bercerai dengan Emran, 45, sekali gus menjawab teka-teki mengenai status perkahwinan mereka.

Menurut Bella, keputusan perceraian itu dibuat secara sepakat di antara kedua-dua pihak dan ia dilakukan dengan cara yang baik.

Erra ditemui di majlis pelancaran produk penjagaan rambut Faith Fleur, di sini, hari. Pelakon Gerak Khas itu dipilih sebagai duta produk berkenaan selama dua tahun.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker